11 Julai 2011

Jari bayi rosak satu demi satu

8 Syaaban 1432H. [MOD] -

MACHANG – Hati ibu bapa mana tidak luluh dan kecewa apabila jari tangan kiri anak kesayangan yang dilahirkan sempurna tiba-tiba mengalami kerosakan satu demi satu berpunca daripada kelalaian orang lain.

Bagi Ismail Lee Abdullah dan isterinya, Zuhariana Baharum, kedua-duanya, 30, masalah tersebut sangat merisaukan apatah lagi apabila memikirkan bahawa anak mereka akan membesar tidak seperti kanak-kanak lain.

Dakwa mereka, jari dan tangan kiri Nur Ayreen Imanie, 6 bulan, tiba-tiba menjadi hitam dan mengecut selepas tiga minggu anaknya itu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kerana mengalami masalah pernafasan pada Mac lalu.

Ismail berkata, pada mulanya tangan kiri anaknya berubah menjadi hitam dan kebiru-biruan dari paras siku hingga ke jari.

Beliau kemudian terus merujuk anaknya itu ke HRPZ II sekali lagi sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan selanjutnya.

Menurutnya, ketika di HRPZ II, doktor menjalankan ujian imbasan dan mengesahkan terdapat saluran darah tersumbat pada bahagian bekas suntikan.

Bayi itu kemudian diberikan ubat pencair darah bagi mengatasi masalah tersebut namun tidak berkesan.

Menurutnya, setakat ini tiga batang jari tangan kiri sudah tanggal dan hilang akibat masalah tersebut manakala dua lagi batang jari sedang menghadapi masalah yang sama.

KOSMO/-

Tiada ulasan: