8 Syaaban 1432H. [MOD] -
Assalamu'alaikum, saudara pengarang, para sahabat setugas dan sahabat pembaca sekalian.
Memulakan bicara, saya ingin mengkalungkan ucapan tahniah kepada Perhimpunan Bersih 2.0 dari semua peringkat, termasuk kepada media massa seperti kalian yang sentiasa memaparkan kisah benar lagi sahih akan peristiwa bersejarah ini.
Semoga kita sekalian yang dahagakan kebenaran dan keadilan serta bencikan kemungkaran dan kezaliman akan beroleh bantuan dan rahmat-Nya, insya Allah.
Juga, takziah kepada saudara kita yang syahid dalam perhimpunan itu. Semoga Allah mengira saudara kita tersebut dalam golongan para hamba-Nya yang mukhlasin dan beroleh redha-Nya selama-lamanya, insya Allah.
Jelas terang tanpa bersuluh, ibarat kata pepatah, "Siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya." Begitulah yang dapat kita saksikan sepanjang hari itu. Mana tidak? Jika benar kita ini benar lagi bagus, mengapa bila ada orang mahu bertemu kita menceritakan masalahnya kepada kita, kita perlakukan sesuka hati pula?
Umpamanya, jika saudara datang bertemu saya untuk menuntut hutang, wajarkah saya menghalau saudara hanya kerana isu hutang itu? Sebab itulah, rasanya tidaklah keterlaluan kalau saya katakan, sebenarnya kerajaan yang ada hari ini telah berhutang kepada rakyat jelata sejak merdeka lagi.
Ya, tidak dinafikan, negaa turut membangun pesat dengan taraf hidup yang juga meningkat maju dari masa ke masa. Namun begitu, jika kita lihat dari aspek yang lain, adakah kemajuan material itu seiring dengan kemajuan akhlaq dan kerohanian? Malah, boleh saya katakan, kita kini sebenarnya sedang hanyut dilanda arus kebaratan hatta soal pembangunan moral insani seolah-olah kelihatan remeh -- ala, suka hatilah ... Contohnya, peningkatan kes pelajar sekolah merokok sahaja, sepatutnya diberi perhatian serius oleh Kementerian Pelajaran.
Ini tidak, asyik menuding jar kepada pihak bawahan, khasnya ibu bapa. Soalnya, adakah yang menyalahkan ibu bapa itu juga, bukan ibu bapa kepada anak-anak mereka sendiri? Rasanya, punca kepada segala kesulitan yang semakin meruncing ini ialah pelaksanaan dasar yang tiada atau rapuh prinsip; hanya ikut trend semasa aja.
Oleh sebab itulah, saya boleh katakan, jika dengan sebab kecil sebegitu pun mereka tak ambil peduli, atau pelaksanaan dasar yang tidak "consistant", maka akibatnya begitu membarah hatta merosakan sistem politik dan pemerintahan. Walaupun tidak mampu membaca akhbar, setidak-tidaknya dengan era keterbukaan maklumat pada zaman IT sebegini, saya serta rakan-rakan senasib, alhamdulillah, mampu memperoleh sumber maklumat alternatif yang lebih benar lagi sahih.
Sejarah sebenarnya telah membuktikan berkali-kali, pentadbiran yang ada sekarang ini acap kali merampas hak rakyat untuk bersuara menerusi pelbagai bentuk pilihanraya. Namun begitu, persoalan utama mereka sering menang mudah, antara lain, ketidaktelusan penyampaian maklumat itu sendiri.
Bayangkan, hanya para menteri sahaja yang dibenarkan mempelopori media arus perdana negara, sedangkan mereka yang dipanggil "pembangkang" itu, nak berucap untuk 10 ke 15 minit menyatakan hasrat dan manifesto pun, terhalang lagi dihalang ... Nah, inikah kemajuan
namanya?
Sedangkan, kita lihat sahaja negara-negara maju yang mana kerajaan kita berkiblatkan (AS, Britain, Jepun, Korea ...), rakyat bebas memilih parti atau kepimpinan lain apabila kerajaan yang ada didapati khianat, kan? Malah, di Jepun, misalnya, apabila seseorang menteri itu rasuah, umpamanya, kemudian heboh diperkatakan dalam masyarakat, dia dengan segera meletak jawatan. Tapi, bagaimana pula di Malaysia, negara yang sering diwar-warkan sebagai negara Islam misali ini?
Oleh itu, saya berpendapat, tibalah masanya kerajaan kita ditukar sama sekali; biar mereka yang ada sekarang ini pula yang jadi "pembangkang". Jutaan terima kasih kepada HarakahDaily yang turut menyediakan "real video" menggunakan laman YouTube yang memaparkan temuramah dan video kejadian sebenar. Tahniah dan teruskanlah memanfaatkan sumber terbuka ini demi faedah semua.
Akhirnya, bersamalah kita berdoa serta berazam sepenuh tekad untuk melakukan perubahan seiring tuntutan agama dan keharmonian negara kita, Malaysia yang tercinta ini. Tidak usahlah kita terpengaruh dengan segala janji manis mereka sekian lama, termasuk 1 Malaysia ini, yang terang jelas hanya sebagai dana kewangan haram mereka sekian lama. Semoga setelah ini, kita benar-benar mampu mensuci lagi membersihkan agama, diri, keluarga, bangsa, masyarakat dan negara.
Terima kasih.
Muhammad Adam Lee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan