11 Julai 2011

Tekad terjun sungai

8 Syaaban 1432H. [MOD] -

MUAR – Niat seorang wanita untuk mencederakan dirinya dengan menggunakan pisau dan terjun di jambatan pintasan Muar tidak kesampaian selepas berjaya dipujuk suaminya.

Insiden penuh cemas jam 4.30 petang semalam mendapat perhatian orang awam dan kemudiannya bertindak melaporkannya kepada pihak polis.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian berusaha memujuk wanita berkenaan tetapi tidak diendahkannya.

Sebaliknya wanita yang hanya dikenali sebagai Suriani itu meminta supaya suaminya datang ke tempat kejadian untuk memujuknya.

Wanita terbabit juga mengugut jika permintaannya tidak dipenuhi, dia akan terjun dari jambatan selain mahu mengelar lehernya menggunakan senjata yang dibawa.

Difahamkan, wanita terbabit bertindak sedemikian kerana mengetahui suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Dia yang tidak berpuas hati dengan perbuatan suaminya itu nekad bertindak melarikan diri dari rumahnya di Tanjong Agas, Ledang sebelum menuju ke jambatan terbabit.

Pihak polis bagaimanapun akur dengan permintaan Suriani dan segera memanggil suami wanita tersebut.

Kira-kira 10 minit kemudian suaminya yang berusia sekitar 30-an tiba di tempat kejadian dan berjaya memujuk isterinya supaya bertenang serta menyelesaikan masalah secara damai.

Kehadiran suaminya berjaya menenangkan Suriani yang kemudian turun dari jambatan sebelum bertindak menyerah diri kepada pihak polis.

Kedua-dua pasangan suami isteri itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan insiden tersebut.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar wanita terbabit bertindak sedemikian.

“Pihak polis turut merampas pisau yang digunakan suspek dalam cubaannya untuk membunuh diri,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh diri dan jika sabit kesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

sinarharian/-

Tiada ulasan: