07 Julai 2011

Jakarta agresif perangi rasuah

5 Syaaban 1432H. [MOD] -


Usaha tingkat dana tabung negara 

JAKARTA: Indonesia merancang membanteras amalan rasuah dalam sektor sumber dan pungutan cukai bagi meningkatkan kecekapan jentera pentadbiran negara dan mendapatkan semula dana yang sepatutnya menjadi milik tabung negara.


Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Membanteras Rasuah (KPK), Haryono Umar, berkata pihaknya mencapai beberapa kejayaan dengan mendakwa sejumlah pegawai tinggi termasuk hakim dan pakar perbankan dengan memenjarakan golongan ‘tamak’, selain menaikkan gaji pekerja bagi mengurangkan amalan rasuah kecil-kecilan.

“Kami bagaimanapun, tidak dapat menangkap semua kakitangan jabatan terbabit kerana ia menyebabkan jentera pentadbiran negara yang sedia ada musnah,” katanya. 

Haryono berkata, KPK akan memulakan siasatan rasuah dalam sektor sumber, termasuk minyak dan perhutanan yang sepatutnya menjana pendapatan besar negara. 

Indonesia berjaya menangani krisis kewangan global dan semakin mendapat perhatian pelabur yang mahu memperoleh faedah dari negara yang kaya dengan sumber komoditi itu, namun amalan rasuah terus menjadi penghalang utama. 

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dipilih semula berikutan janjinya untuk membanteras rasuah, namun kejayaan dicapai dilihat terlalu perlahan, sekali gus mengancam populariti beliau dan pelaburan asing. 
Haryono yang pernah berkhidmat sebagai juruaudit negara berkata, antara kerugian paling besar dihadapi Indonesia ialah dalam sektor percukaian. 

“Pegawai percukaian tidak melakukan apa-apa dalam tempoh 10 tahun,” katanya sambil menambah sejumlah negara itu dijangka kerugian AS$1 bilion (RM3.02 bilion) dalam bentuk cukai tahun depan, berikutan peraturan yang menetapkan keperluan membayar cukai korporat akan lupus selepas 10 tahun. – Reuters 

Tiada ulasan: