07 Julai 2011

Liga Super: Nik Aziz utus tahniah dari tanah suci

5 Syaaban 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 7 Julai: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak negeri itu, The Red Warriors yang menjuarai Liga Super 2011.
Kejuaraan itu disahkan selepas anak didik Datuk M Karathu itu memalukan Sabah di hadapan penonton sendiri 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.
"Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan di atas kejayaan menjuarai Liga Super setelah menewaskan pasukan Sabah pada malam ini.
"Rakyat Kelantan bangga dengan kejayaan ini, terima kasih," katanya yang mengirim ucapan itu melalui Twitter malam tadi.
Nik Aziz yang juga Mursyidul AM PAS kini berada di tanah suci Makah menunaikan ibadah umrah dan dijangka akan kembali ke tanah air 10 Julai ini.
Sementara itu, kedua-dua gol kemenangan Kelantan malam tadi itu dijaringkan peledak utama Red Warriors, Noorshahrul Idlan Talaha pada minit ke-5 dan ke-71.
Bagaimanapun Kelantan cemas seketika apabila Sabah bangkit memberi tentangan dengan memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat biarpun Sabah membuat asakan bertali arus menuju masa kecederaan untuk memburu gol penyamaan.
Gawang Kelantan dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat.
Kemenangan pada perlawanan terakhir semalam membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata dan tidak mampu dicabar Selangor (52) dan Terengganu (53).
Sebaliknya Selangor menutup saingan musim ini dengan penuh kehampaan, apabila bukan sahaja gagal memintas Kelantan, sebaliknya tercicir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh.
Kedudukan naib juara pula menjadi milik Terengganu apabila berpesta gol dengan membelasah Felda United 6-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Negeri Sembilan menutup saingan musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Ahmad Fakri Sharani minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah minit ke-59.
Kedah menamatkan saingan di tangga keempat selepas menang 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot, Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan menerusi jaringan tunggal Mohd Fiqri Md Isa minit ke-69.

Tiada ulasan: