07 Julai 2011

2 keluarga hilang tempat tinggal

5 Syaaban 1432H. [MOD] -


MACHANG – Dua keluarga di Kampung Pangkal Jetas, Labok dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran kira-kira jam 10.20 malam, kelmarin. 

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada litar pintas tersebut disedari salah seorang ahli keluarga namun tidak sempat berbuat apa-apa kecuali menyelamatkan diri masing-masing. 

Salah seorang mangsa, Aminah Lahman, 58 berkata, ketika kejadian dia dan seorang anaknya baru tiba daripada Pengkalan Chepa. 

Katanya, suaminya, Ramli Ibrahim, 56, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Pangkal Jetas pergi bermesyuarat selepas menghantar mereka pulang di kampung berdekatan. 

Tambahnya, ketika dia sedang bersiap-siap untuk mandi, tiba-tiba pam air di rumahnya berhenti berfungsi dan apabila bertanyakan kepada anaknya, anaknya memberitahu ada api di dalam bilik. 

“Saya segera mematikan meter elektrik dan berlari keluar bersama anak saya. Pada mulanya api kecil namun keadaan menjadi kelam kabut dan kebetulan tiada sesiapa yang berdekatan. 

“Saya sendiri mempunyai masalah penglihatan sebab itulah saya tidak berani untuk memadamkan api tersebut dan hanya menyelamatkan diri sendiri. Api yang marak kemudiannya merebak ke rumah ibu saudara saya yang terletak berdekatan. Mujurlah dia tiada di rumah,’’ katanya sebak. 

Sementara itu, ibu saudara Aminah, Bidah Jusoh berkata, biasanya pada malam dia menumpang tidur di rumah keluarga terdekat memandangkan dia tinggal seorang diri. 

Katanya, dia hanya mengetahui perkara tersebut apabila diberitahu oleh ahli keluarga yang lain namun tiada apa-apa yang sempat diselamatkannya. 

Selain dua buah rumah dan sebuah motosikal, kain tempahan pelanggan Aminah turut musnah. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Zamri Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.29 malam dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 10.50 malam. 

Katanya, operasi tersebut melibatkan dua jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota. 

“Ketika pasukan kami tiba di tempat kejadian, kedua-dua buah rumah telah terbakar dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam. 

“Punca kebakaran masih disiasat dan anggaran kerugian adalah RM90,000 yang mana melibatkan rumah, kelengkapan rumah dan sebuah motosikal,’’ katanya.

Tiada ulasan: