15 Julai 2011

Penculik tetap tuntut RM5.6 juta, tiada diskaun

13 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kumpulan penculik dipercayai rangkaian Abu Sayyaf di selatan Filipina tetap menuntut wang tebusan RM5.6 juta bagi pembebasan Mohd. Nazaruddin Saidin, rakyat Malaysia yang diculik di Pulau Jolo, awal Mei lalu.

Menurut sumber, dakwaan bahawa pihak berkenaan memberi diskaun RM60,000 untuk pembebasan mangsa adalah tidak benar.

Sebaliknya, katanya, ia hanya kos rundingan yang diperlukan bagi perbelanjaan makan, minum dan pengangkutan untuk membawa Mohd. Nazaruddin dari satu lokasi ke lokasi lain sejak tiga bulan dalam tawanan.

"Hakikatnya, setakat ini tidak ada pihak mahu menaja wang sebanyak itu (RM5.6 juta).

"Tidak ada isu pintu rundingan ditutup, pihak kumpulan penculik tersebut tidak mempunyai sebarang masalah untuk menunggu seberapa lama sekalipun.

"Lagi lama tunggu untuk membayar tuntutan mereka, nilai tebusan semakin tinggi dan yang paling utama pihak penculik mahu keuntungan daripada hasil 'tangkapan' mereka," kata sumber itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini turut mengesahkan jumlah tuntutan tebusan sebanyak RM5.6 juta masih kekal dan pihak penculik tidak pernah memberi diskaun sehingga RM60,000.

"Jika tuntutan tidak dipenuhi kemungkinan kos itu akan meningkat," katanya.

Beliau dimaklumkan orang tengah pihak penculik berkenaan bahawa mereka tidak mahu berunding dengan pihak biro itu sebaliknya, mahu berurusan terus dengan keluarga.

"Bagaimanapun, kami sanggup menawarkan diri lagi untuk memberi bantuan dan akan ke Filipina dalam waktu terdekat," katanya.

Dalam laporan Utusan Malaysia pada 14 Mei lalu, isteri Mohd. Nazarudin, Mazlina Mohamad, 38, mendedahkan kumpulan penculik berkenaan menuntut wang tebusan sebanyak 80 juta Peso (RM5.6 juta) sebagai syarat pembebasan suaminya.

Katanya, jumlah wang tebusan itu dimaklumkan kumpulan penculik kepada orang tengah yang juga salah seorang ejen broker cicak tokek di Malaysia.

Katanya lagi, kumpulan itu turut memberi syarat agar dia membayar sejumlah 5 juta Peso (RM348,317) sebagai pendahuluan wang tebusan terbabit dalam tempoh yang diberi.

utusan malaysia/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YA ALLAH SELAMATKANLAH HAMBA MU MUHAMMAD. Nazaruddin BIN Saidin,DIA DIANIAYA DAN TERANIAYA.....AMIIN YA ALLAH...KAU MAHA BERKUASA DIATAS SEGALA SESUATU, MAHA MENDENGAR MAHA MELIHAT, ENGKAU MAHA PELINDUNG....AMIN YA ALLAH...

Tanpa Nama berkata...

MARILAH KITA SAMA2 PAKAT BERDU'A SECARA BERSENDIRIAN ATAU BERJAMAAH UNTUK SAUDARA KITA INI MUDAH2AN ALLAH YANG MAHA BERKUASA AKAN MELEPASKANNYA DARI DUGAAN INI DENGAN SELAMAT... AMIIIN YA ALLAH...