28 Oktober 2011

'Bekas ketua PR Tony Blair bantu Najib menang PRU'

30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bekas ketua komunikasi Perdana Menteri British, Tony Blair - Alastair Campbell dikatakan sedang bekerjasama dengan BN untuk membantu kerajaan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Menurut portal Sarawak Report, Campbell baru-baru ini telah dilihat di Astana, ibu negeri Kazakhstan dan juga di Kuala Lumpur bagi menjalankan kerja-kerja perundingan.

"Berdasarkan sumber-sumber eksklusif, kami difahamkan Campbell sedang memberi nasihat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai cara memenangi pilihan raya akan datang.

"Menurut sumber kami, Campbell mengadakan pertemuan dengan Najib di KL baru-baru ini dan adalah orang di sebalik yang menasihatkan perdana menteri sejak beberapa bulan lalu untuk menampilkan imej lebih mesra, seperti janji untuk reformasi undang-undang tahanan dan konsep 'Najib Cool',” kata laporan itu.

Campbell pernah menerajui kempen ‘Cool Britannia’ untuk Blair (kanan) pada sekitar 1990an.

Beliau juga terkenal kerana menyakinkan rakyat Britain melalui usaha perhubungan awam untuk menyokong pencerobohan ke atas Iraq.

Menurut Sarawak Report, Najib mengupah Campbell bagi mendapatkan kepakaran strateginya bagi memenangi pilihan raya akan datang.

"Ia adalah mengenai cara untuk berhadapan dengan pembangkang, bagaimana untuk memaparkan imej Najib dan apa yang perlu dilakukan untuk menang, berdasarkan kejayaan Tony Blair.

"Kerjasama ini mencetuskan kebimbangan di kalangan pembangkang kerana Campbell menggunakan hubungan antarabangsa dan pengaruh beliau melalui Blair untuk meningkatkan imej Najib dan BN, di sebalik rekod parti itu yang terbukti mengamalkan rasuah, penindasan dan penafian hak-hak asasi manusia serta kegagalan mengadakan pilihan raya yang bersih di Malaysia," petik laporan itu.

Lewat petang ini, Campbell, dalam twitternya, menafikan dia telah dilantik sebagai penasihat kepada Najib.

Katanya, dia sendiri pun tidak pernah datang ke Malaysia.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: