30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ijtimak Trbawi 2011 Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan bermula petang ini bukan sahaja untuk ahli dewan itu malah terbuka kepada semua khususnya anak muda dan juga muslimat.
Pengarah program itu, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz berkata, orang ramai khususnya belia dijemput hadir ke program itu yang akan berlangsung tiga hari sehingga Ahad ini bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar.
"Ianya terbuka kepada semua. Sebenarnya yang kita tumpu adalah anak muda.
"Muslimat pun boleh ikut serta. Kita juga menjemput Nisa' untuk hadir bersama," katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat kepada harakahdaily.
Pihak penganjur juga ujarnya telah menyediakan pelbagai persiapan termasuk penginapan kepada peserta yang akan hadir.
"Kita sasar 6,000 orang akan menyertai ijtimak kali ini. Sehingga kini lebih 4,000 sudah menyatakan pengesahan untuk hadir," katanya yang tidak menolak kehadiran akan melebihi sasaran.
Untuk menarik golongan muda hadir ke ijtimak kali ini juga, Dewan Pemuda PAS buat julung kalinya menerbitkan filem pendek bertajuk "Gua Ikut Enta".
Filem yang dipecahkan kepada tiga siri itu disiarkan berperingkat-peringkat sejak minggu lalu dan mendapat respon positif dari banyak pihak.
Sementara itu, pendaftaran program tersebut akan bermula pada jam 3 petang ini manakala majlis perasmian dijadual disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz selepas Isyak.
Sebelum itu, Tuan Guru akan menyampaikan kuliah Maghrib kepada perserta program tersebut.
Ijtimak Tarbawi 2011 adalah program khusus Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai program tarbiah ruhiah harakiah dari para murabbinya, bagi mempersiapkan anak muda dengan ‘kemantapan aqidah, pemikiran dan keperibadian mereka.
Selain pemimpin utama PAS, program tersebut juga bakal menampilkan tokoh-tokoh gerakan Islam luar negara seperti Ikhwanul Muslimin dan Hamas untuk berkonsi pandangan mereka.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan