Saya tak pandai menulis surat. Saya hanya pandai bercerita. Blog saya juga adalah blog cerita. Ini cerita baru, ini pula cerita lama kalau sudi untuk dibaca. Cerita ini untuk Datuk Seri Memanda Perdana Menteri Malaysia, tanah air saya. Juga untuk mereka yang sudi menadah telinga dan mata untuk membaca lantas menyebarkannya. Demi agama, bangsa dan negara.
Jumaat akan datang, tinggal beberapa hari sahaja lagi. Pada hari itu, Kabinet akan bersidang, Memanda Perdana Menteri akan membentangkan bajet kewangan bagi tahun 2012. Bajet yang sedia ditunggu oleh seluruh lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa di Malaysia. 1.3 juta penjawat awam semestinya menjadi orang paling awal tersenyum sambil mendengar bajet diumumkan untuk mereka. Tapi kami...?
Saya terdengar cerita dari Malaysia, setiap kali beralih tampuk kepimpinan mahasiswa di IPT dalam negeri, mereka disediakan dengan sut persalinan lengkap. Saya tak tahu berapa nilainya. Presiden pelajar Malaysia di Jordan hanya memakai jaket bundle. Majlis Perwakilan Mahasiswa dalam negeri juga diberikan bajet tahunan untuk memudahkan proses mereka mengurustadbir hal ehwal ahli di bawah jagaan mereka. Pejabat operasi disediakan oleh pihak universiti secara percuma malah berhawa dingin pula. Mereka bermesyuarat dengan tenang, tanpa pening memikir sumber kewangan untuk mengatur langkah bagaimana ingin menebar manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Petrol di Malaysia jauh lebih murah berbanding di Jordan. Kenderaan awam juga jauh lebih selesa dan terurus berbanding perkhidmatan yang disediakan kepada kami di sini. Perhubungan di Malaysia sangat efektif. Kami hanya ada bas yang akan bergerak apabila penumpang penuh.
Datuk Seri, pada September 2011, Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan permohonan lebih 1000 pemohon ke Jordan. Dari jumlah itu, lebih 900 bertandang. Kawan-kawan saya bertungkus-lumus menyambut adik-adik baru yang tak pernah mereka kenali, tapi cukup mereka sayangi. Rumah dan penginapan dicari untuk dihuni. Menyewa van dan bas selepas bertengkar dengan kedegilan arab untuk menyambut mereka di lapangan terbang. Letih dan jerih mereka tak pernah berbayar, Datuk Seri. Mereka berkhidmat untuk Malaysia. Saya hanya tukang cerita, menyampaikan berita.
Di tempat saya mengaji, Mu'tah University. Pekan kecil yang dipenuhi debu. Rumah kecil 3 bilik dengan dapur sempit dan ruang tamu kosong perlu disewa dengan harga lebih RM500. Kebanyakan kami pula datang dengan tanggungan sendiri selepas mendapat izin dari KPT.
Di pekan kecil ini, lebih 400 warganegara Malaysia berteduh. Dengan kesedaran tanggungjawab sosial, sebuah persatuan ditubuhkan untuk memudahkan urusan antara kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kedutaan Malaysia Jordan dan Educatian Malaysia Jordan.
Di Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah, juga persatuan lain di Jordan, kawan-kawan saya bekerja tanpa gaji. Kesedaran sosial mereka sangat tinggi. Atas dasar tanggungjawab, mereka rela menipiskan perut untuk berkhidmat. Keluarkan duit poket sendiri untuk tambang bas dan isi minyak demi menghadiri mesyuarat, pertemuan dan taklimat. Kenapa tak tuntut dari persatuan?
Persatuan kami, sangat miskin, Datuk Seri.
Saban tahun, kawan-kawan saya pening, bagaimana ingin dicari sejumlah wang untuk menampung kos pengurusan persatuan kecil itu. Kawan-kawan yang berada di Malaysia pula, menebalkan muka memanjat lif dan tangga, menghulurkan surat dan proposal untuk mencari sumbangan dan derma. Kos pengurusan rumah pejabat di pekan kecil Mu'tah menelan lebih RM 20000 untuk setahun. Tidak termasuk dengan program jatidiri dan tanggungjawab sosial yang dilaksanakan.
Itu di pekan kecil bernama Mu'tah, terletak berhampiran dengan kota Karak yang masyhur. Di Irbid dan Amman bahkan Mafraq, kosnya pasti lebih tinggi. Mereka di bandar maju.
Kami ada idea untuk memacu dan men-transformasi-kan ekonomi pelajar Malaysia di Jordan, tapi kami tidak punyai dana dan biaya kewangan.
Datuk Seri pernah mengajar kami, anak muda dan mahasiswa adalah aset penting negara. Mahasiswa pembentuk negara pada masa akan datang. Kami pula sangat yakin akan peranan kami untuk Malaysia. Atas sebab itu, meski kami tahu kami akan letih dan sedih, kami tetap berhijrah untuk menjana transformasi diri agar lebih maju dan mampu untuk memacu negara pada masa akan datang.
Datuk Seri, saya simpati kepada nasib mereka, lantas saya menulis. Saya harap, Datuk Seri turut menaruh simpati kepada kami, warganegara Datuk Seri yang bakal kembali ke Malaysia, menyambung legasi 1 Malaysia. Justeru, apa salahnya andai dicelah ratusan billion yang bakal Datuk Seri umumkan pada Jumaat nanti, selitkan juga barang sejuta dua untuk kami di luar negara. Ianya bakal meringankan beban kami, agar tidak perlu berletih jerih mencari dana saban Ramadhan. Moga nanti, masa keemasan dan pengurusan cemerlang hasil bantuan dan bajet kewangan itu dapat kami tumpukan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Datuk Seri, saya bercerita tentang Jordan yang saya kenali, tapi sebenarnya, mungkin seluruh dunia saya wakili.
1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
http://www.hasanhusaini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan