06 Oktober 2011

Gaji minimum Pakatan tepat pada masa

8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LPAS) merasakan Belanjawan 2012 yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat (PR) dalam meletakkan gaji minimum RM1,100 sebagai gaji minimum tenaga kerja sebagai berpatutan dan kena pada masanya.

Pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, ini kerana dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan kenaikan harga barang, penetapan gaji minimum sebanyak RM1,100 amat sesuai dilaksanakan.

“LPAS mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang cukup memahami kehendak serta keperluan rakyat terbanyak, khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya kepada Harakahdaily.

Ini juga, ujarnya bersesuaian dengan tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam CEUPACS serta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mahukan kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM900.00.

Katanya, dalam keadaan kerajaan teragak-agak untuk membantu rakyat berpendapatan rendah, PR tanpa berlengah panjang terus membentangkan bajet yang antaranya menetapkan gaji minima yang kena pada golongan sasaran.

Bagi LPAS, kata beliau kerajaan sepatutnya telah lama menetapkan gaji minimum bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah agar keluar dari kepompong kemiskinan.

Menurutnya, apa yang berlaku pada hari ini adalah ramai pekerja berpendapatan rendah yang mendapat gaji terlalu sedikit, sehingga ada yang kurang daripada RM800 sebulan.

“Dengan gaji demikian, bagaimana golongan pekerja ini dapat hidup dalam suasana di bandar khususnya di Kuala Lumpur ini,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Jerai.

Katanya, mereka pula mempunyai keluarga, dan dengan pendapatan yang sebegini semakin ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan.

Baginya, pembentangan bajet PR membuktikan bahawa PR sentiasa meletakkan rakyat sebagai agenda utama.

“LPAS menunggu-nunggu apakah pula reaksi kerajaan dalam menawarkan kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Justeru, tambahnya LPAS mengharapkan supaya kerajaan dapat menetapkan gaji minimum yang lebih baik daripada PR sesuai dengan sifatnya sebagai kerajaan persekutuan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: