06 Oktober 2011

Kg Baru: Kenapa 4 GLC muncul tiba-tiba

8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Okt: PAS sekali lagi menegaskan, pembangunan Kg Baru perlu dibuat dengan cara yang telus supaya tidak ada mana-mana pihak khasnya pemilik tanah yang terasa mereka dizalimi.

Sehubungan itu, PAS mempertikaikan kewujudan tiba-tiba empat GLC yang akan menguruskan pembangunan Kg Baru malam tadi sedangkan rang undang-undangnya baru semalam diluluskan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sewaktu menggulung RUUPPKB selepas dibahaskan malam tadi berkata, empat GLC tersebut ialah Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Putrajaya Holding dan Permodalan Hartanah Berhad dan pertemuan dengan keempatnya akan diadakan dalam masa terdekat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, seolah-olah wujud pakatan di antara kerajaan dan pihak GLC untuk mengaut keuntungan di sebalik penubuhan perbadanan tersebut.

"Bagaimana sudah ada senarai GLC yang akan terlibat dalam perbadanan ini sedangkan Rang Undang-undang baru diluluskan sekejap tadi," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen malam tadi.

RUUPPKB 2011 diluluskan di Dewan Rakyat malam tadi melalui undi belah bahagian dengan 72 wakil BN bersetuju manakala 28 wakil Pakatan Rakyat tidak bersetuju ianya dilluluskan.

RUUPPKB 2011 dibacakan kali kedua semalam selepas RUUPPKB 2010 ditarik balik Isnin lalu akibat mendapat tentangan hebat daripada wakil penduduk Kg Bharu dan Pakatan Rakyat.

Mahfuz (gambar bawah) yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut berkata, Pakatan Rakyat tidak menolak pembangunan namun mahu ianya diuruskan secara telus dan melibatkan wakil penduduk sendiri.

"Beberapa kali kita tegaskan, kita tidak menolak pembangunan di kawasan Melayu tapi kita tidak mahu pembangunan itu akhirnya meminggirkan orang Melayu sendiri.

"Esok media arus perdana akan mainkan Pakatan Rakyat tolak pembangunan dan tak mahu Melayu maju.Kita nafikan perkara itu dan kita minta kerajaan benar-benar ikhlas nak majukan kawasan Melayu, bukan komersil semata-mata," katanya.

Menurut Raja Nong Chik, apabila Perbadanan Pembangunan Kg Bharu ditubuhkan, status tanah kawasan itu akan ditukar kepada status Pusat Bandaraya Komersial (CCC) yang setaraf tanah di kawasan pembangunan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Dewan Rakyat panas ketika RUU tersebut dibahaskan.

Selain Mahfuz, beberapa wakil Pakatan yang mengambil bahagian dalam perbahasan ialah Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja), Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan Tian Chua (PKR-Batu).

Manakala Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS-Rantau Panjang) turut mencelah membantah RUU tersebut.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: