8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM 6 OKT : Penghapusan sistem monopoli yang diamalkan di negara ini merupakan satu langkah terbaik untuk mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan pelaburan.
Perkara ini dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam Forum Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang berlangsung di Quality Hotel, Shah Alam
Katanya, melalui penghapusan sistem monopoli ini akan membuka ruang persaingan sihat kepada ramai usahawan yang selama ini kekurangan peluang dari kesan sistem monopoli.
“Kita tidak boleh memberikan angka tetap melalui hasil penghapusan monopoli. Namun kita percaya persaingan tanpa monopoli akan mengurangkan kos kehidupan rakyat,” katanya.
Melalui sistem monopoli ini merupakan satu langkah ‘membunuh’ pesaing lain yang mungkin turut terlibat dalam industri sama.
Ujar beliau, kaedah monopoli yang diamalkan Barisan Nasional ini jelas menunjukkan mereka ketandusan idea untuk mencari jalan penyelesaian masalah ekonomi.
Antara contoh bentuk monopoli yang berlaku di negara ini adalah monopoli Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) untuk mengimport beras, Telekom Malaysia (TM) untuk perkhidmatan jalur lebar dan monopoli Astro untuk perkhidmatan televisyen setelit siar terus berbayar.
Bagi memecahkan dasar monopoli ini, Pakatan Rakyat mengesyorkan dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan, bukannya kroni dan kerabat yang berkepentingan.
Satu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi dan perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil dan bertentangan dengan kepentingan umum serta mengembalikan semula profesionalisme dengan memberikan ruang penyertaan kepada semua pihak.
Selain itu, Akta Persaingan 2010 akan diperluaskan kepada semua sektor ekonomi termasuklah syarikat telekomunikasi dan sektor tenaga yang paling banyak menyaksikan herotan harga akibat monopoli.
Untuk mengembalikan semula kecemerlangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pakatan Rakyat akan memastikan mereka bebas dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan.
Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan Goods Service Tax atau ringkasnya GST.
Katanya, Pakatan tidak menolak mentah-mentah perlaksanaan GST namun ianya perlu dilihat dari sudut yang rasional terutama dari segi aspek kemampuan rakyat untuk membayarnya.
Jelasnya, pendapatan rakyat kini bukannya di tahap yang sesuai untuk meletakkan mereka sebagai golongan yang layak untuk dikenakan cukai memandangkan peningaktan kos sara hidup semakin tinggi yang dialami mereka.
“Kenapa rakyat tidak mampu membayar cukai? Kerana pendapatan mereka berada di bawah paras untuk melayakkan mereka untuk membayar cukai,” katanya.
Sementara itu, bagi Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli, sebagai kerajaan yang prihatin, institusi pendidikan perlu diberikan perhatian terutamanya melibatkan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Perkara ini perlu dinilai secara menyeluruh memandangkan terdapat beberapa kolej menawarkan kursus untuk pelajar namun akhirnya sijil berkenaan tidak bernilai apabila dibawa ke sektor pekerjaan.
“Ada beberapa perkara drastik yang boleh kita lakukan. Pertama tawaran kursus di bawah pembiayaan PTPTN ada nilai kepada rakyat. Sekarang PTPTN membiayai kolej milik kroni yang mengeluarkan sijil dan bila dibawa ke sektor pekerjaan tidak laku. Di sini rakyat dan pelajar menjadi mangsa,” katanya.
Beliau menambah, kursus yang ditawarkan juga perlu dilihat agar memberikan nilai kepada rakyat dan bukannya memberikan keuntungan semata-mata kepada kroni dan membebankan rakyat.
Jelasnya lagi, Pakatan konsisten dengan jaminan supaya bayaran perlu dibuat oleh peminjam apabila mereka mendapat surat pengesahan pekerjaan.
“Jaminan kita dalam suasana susah masa kini, peminjam PTPTN hanya perlu membayar selepas mendapat pengesahan kerja. Yang ini jaminan kita dari dahulu sampai sekarang
Ujar beliau lagi, profession perguruan juga perlu dipertingkatkan memandangakn mereka adalah penggerak utama dalam pendidikan dan bukan hanya mengubah struktur kurikulum pembelajaran semata-mata.
“Kita naik taraf profession guru terlebih dahulu, kemudian baru kita membuat penambah baikkan untuk sistem pendidikan di negara kita,” katanya.
Forum Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengupas isu bajet Pakatan Rakyat yang telah dibentangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tema ‘Kesejahteraan Untuk Semua’.
tv news/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan