8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Kongres Sambutan 60 Tahun PAS yang berlangsung pada 1 Oktober lalu di Pulau Pinang memang meriah dan bersejarah. Hadirin, saya kira 30,000 orang, sebahagiannya di dalam Dewan Milenium "berlagu lutut" pada majlis Rapat Umum Perdana di sebelah malamnya.
Pekan Kepala Batas sesak teruk. Saya terpaksa perlahan-lahan menapak agak jauh dari tempat letak kereta. Ramai lagi yang berpusing-pusing mencari parkir. Mujur perut sudah diisi nasi kandar di gerai berdekatan.
(Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di majlis Rapat Umum Perdana, sempena sambutan 60 tahun PAS, 1 Oktober.)
Seusai program, jam 12 malam, sekali lagi terpaksa menunggu lama disebabkan laluan kereta tersekat di celah-celah rumah kedai, 2km dari lokasi ceramah.
Di sebelah paginya, mood kongres nampak ceria dan bersemangat. Ucapan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan penganugerahan tokoh buat "putera terbaik Melayu", Dr Burhanuddin Al-Helmy menyuntik inspirasi baru buat petugas parti. Cerita mengenai kegigihan, istiqamah, ketekunan dan ketabahan berdepan tribulasi dan rintangan berpanjangan di atas jalan dakwah.
Yang nyata, selepas Mohamad Sabu menimbulkan kontroversi Mat Indera, berbicara tentang sejarah (apatah lagi mengenang jatuh bangun parti) sudah mampu menarik perhatian umum dan memaku tumpuan.
Saya sendiri melihat kongres itu memberi makna tersendiri, sehingga menggagahi juga turun jauh ke utara. Muktamar PAS pun bagi saya tidak seistimewa itu. Jun lalu, meskipun Taman Melewar tidak begitu jauh dengan kediaman saya di Bukit Ampang, saya tidak bersedia untuk bersesak di persidangan tahunan PAS.
Sayang, pengisiannya pada hanya sebelah pagi, dan tiada ruang untuk penyertaan aktif daripada perwakilan. Hanya ada dua pembicara, Dato' Kamarudin Jaffar dan Subky Abd Latif. Ramai yang mahukan sambutan 60 tahun itu diraikan di peringkat akar umbi, di seluruh negara, dan mengaitkannya dengan persiapan PRU13.
Semasa berucap, Ustaz Abdul Hadi kelihatan sebak sewaktu menyebut nama-nama Yang Dipertua Agung atau Presiden PAS sebelumnya. Dengan suara tersekat-sekat, beliau menyeru seluruh ahli PAS bersedia menyerahkan diri kepada perjuangan menegakkan agama Allah seperti yang ditunjukkan pemimpin terdahulu.
"Marilah kita menjadi seperti mereka yang tetap jatidiri, tidak mengubah haluan, tidak menebuk bahtera, malah melajukan perjalanan bahtera mencapai keredhaan Allah untuk menang di dunia dan menang di akhirat," katanya.
Pidato tengahari naib-naib presiden, Husam Musa dan Mahfuz Omar lebih menekankan keupayaan parti menempuh cabaran mendatang, dengan memanfaatkan pengalaman silam.
Husam membentangkan data-data menarik tentang PRU13, khususnya bagi menjayakan pelan kemenangan menguasai Putrajaya. Exco Kanan Kerajaan Kelantan ini menarik perhatian peserta dengan ungkapan "minda berkerajaan dalam PAS", yang dilihat mampu meletakkan parti Islam itu sebagai peneraju kerajaan alternatif berdasarkan pengalaman memerintah negeri.
"Bagi 60 tahun akan datang, PRU13 adalah sebahagian dari barometer yang penting. Kongres ini dianjurkan tepat menjelangnya tarikh penting itu. Terpulang kepada ahli sama ada mampu melonjak PAS seribu langkah ke hadapan dan memundurkan lawan kita seribu langkah ke belakang dalam pertarungan penting untuk meletakkan perjuangan kita ke persada utama negara," rumus Husam.
Mahfuz, yang berapi-rapi berucap, mengimbau konsep Melayu Raya yang diperjuangkan Burhanuddin, dan mahu ia dikembangkan dalam bentuk Malaysia Raya, dengan asas Islam yang kukuh. Baginya, fasa 60 tahun kedua PAS perlu dimantapkan lagi, terutama selepas terbukti Umno makin tersepit dengan asakan kesedaran rakyat yang ditunjangi PAS.
Sebelumnya, Tok Guru Nik Aziz menyampaikan tazkirah tentang hal-hal asas seperti solat dan membaca al-Quran, yang dikaitkan dengan pengalaman PAS berdepan pelbagai tekanan, termasuk mengharamkan simbol bulan bintang. Beliau juga menyentuh polemik hudud.
Tok Guru mengharapkan, satu hari nanti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan muncul sebagai "Parti Islam Se-Dunia" (PAS). Keuzuran sememangnya tidak pernah menghalang Tok Guru untuk terus menyampaikan nasihat, yang pastinya cukup bermanfaat buat bekalan melalui jalan berliku dalam perjuangan suci ini.
Tazkirahnya membekas di hati; ya, Tok Guru memang tiada duanya. Peringatannya begitu menyentuh biarpun mengulas tema biasa dalam kehidupan.
Sementara menunggu pidato umum malamnya, semasa menjamah nasi kandar di pekan Kepala Batas, seorang yang mengenalkan dirinya sebagai pembaca setia Harakah, merapati saya. "Bang, saya minta sangat-sangat, tolonglah tulis tentang penagihan dadah terutama di kampung-kampung, yang cukup tenat sekarang," nada suaranya cukup serius, di antara merayu dan mendesak.
"Bangsa kita punah kalau macam ini. Kerajaan dan polis memang tak serius tangani masalah dadah. Betul. Undang-undang berat pun tak guna kalau pelaksanaannya longgar," tambahnya. Beliau bercerita panjang, penuh emosi dan sekali lagi menggesa Harakah menimbulkan isu ini.
Sebenarnya hari itu, saya diasak satu lagi isu yang "membingungkan" apabila terbaca laporan Berita Harian, 1 Oktober, tentang kajian isu pembuangan bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM).
Kajian itu mendapati tiga daripada enam remaja berumur di antara 15 hingga 28 tahun, kebanyakannya lulusan universiti, melakukan hubungan zina. Seramai 1,922 daripada 5,016 responden yang diselidik mengetahui rakan mereka mengandung anak luar nikah. 76 peratus (3,812 responden) mempunyai rakan yang pernah menonton video lucah.
Semasa singgah di Taiping, tengahari Ahad, 2 Oktober, untuk menziarahi makam Pahlawan Umat, Dr Burhanuddin, di Masjid Lama Taiping, dan pusara Mat Indera, di Kg Jambu, tidak jauh daripada situ, kemelut gejala sosial yang membarah itu masih menganggu fikiran saya.
(Pak Akob [kiri] menunjukkan nisan pusara Mat Indera. Tulisan namanya masih timbul dengan jelas walaupun dikebumikan pada Januari 1953.)
Bagaimanapun, pelbagai cerita yang dikongsi daripada setiausaha masjid, Mohd Zamhuri Baharim dan penjaga kubur Mat Indera, Yaakob Din, dapat meringankan sedikit "sakit kepala" saya. Sayang kami tidak dapat memenuhi jemputan makan tengahari PAS kawasan yang disampaikan Bashir Ahmad, pegawai khas Dato' Seri Nizar Jamaluddin untuk Dun Sepetang.
Selain pengumuman tawaran menarik oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan Alternatif 2012 kepada media, 4 Oktober lalu, beberapa penekanan yang dibuatnya elok juga diberi tumpuan.
Di antaranya, Anwar menekankan: "Golongan maha kaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus-lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan maha kaya ini seronok melancong dan berbeli-belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.
"Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35 peratus dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.
"Statistik rasmi dari kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca-merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.
"40 peratus rakyat Malaysia datang daripada isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. Tiga perempat dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya dalam negara (termasuklah golongan maha kaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% kekayaan negara.
"Angka ekonomi negara rendah-rendah belaka, kecuali kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan harga gula melonjak 66%, harga 1 kilogram ayam melonjak 37%; susu bayi, 26%; teh tarik, 25%; dan roti putih, 20%.
"Unjuran angka inflasi membayangkan jika keadaan ini berterusan sehingga 2015 akibat kegagalan BN mengawal harga barang, rakyat akan menanggung kos barangan harian yang melonjak 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6%."
Justeru, rakyat tiada pilihan selain bertindak menukar kerajaan. Pembolotan khazanah kekayaan negara mesti dihentikan. Rasuah yang membarah bagai tiada kesudahan. Undang-undang tidak mampu menyekat keserakahan nafsu pemimpin Umno-BN dan suku-sakatnya.
Pengalaman saya mengikuti beberapa kes rasuah berprofil tinggi membuktikan bahawa peluang untuk melakukan salahguna kuasa hanya dapat ditutup melalui undang-undang yang berat, penguatkuasaan yang tegas dan integriti diri yang tinggi.
Begitu banyak ruang dan peluang salahguna kuasa yang tidak mampu dikesan oleh undang-undang, apatah lagi dengan realiti Malaysia Boleh!
Dalam masa sama, Dato' Seri Najib Razak tentu tidak akan melepaskan peluang semasa membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat ini, bagi menarik sokongan kepada BN. Pastinya ia bajet terakhir sebelum PRU13 dan usah terkejut dengan tawaran-tawaran itu nanti.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan