03 Oktober 2011

Jangan tertipu bajet 'morfin melalaikan'

5 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Menyifatkan bajet kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya sebagai ‘morfin yang melalaikan', Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyeru rakyat supaya sedar dan tidak ditipu oleh janji-janji pilihanraya dalam bajet yang tidak pernah kunjung datang.

Tahun ini, kata beliau ialah julung kalinya rakyat dapat melihat dua tawaran bajet – satu daripada BN dan satu daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Ambillah peluang ini untuk menilai bajet mana yang lebih menjamin kesejahteraan semua, daripada bajet yang sekadar menyuntik morphine untuk me’lalai’kan rakyat daripada kesakitan hanya sehingga selepas pilihanraya umum.

Selepas kesan morphine hilang, segala kenaikan yang diberi akan diambil semula dalam bentuk kenaikan harga barangan dan GST yang sudah semestinya akan dilaksanakan jika Umno-BN memerintah lagi,” saran Tuan Ibrahim merujuk kepada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diwar-warkan bakal dilaksana Umno-BN selepas PRU-13 jika menang pilihanraya.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan rakyat bahawa banyak janji BN semenjak Mac 8, 2008 ketika berlangsung pilihanraya kecil masih tidak ditunaikan dan menasihatkan mereka agar berwaspada dengan janji-janji baru yang bakal ditaburkan dalam bajet sempena musim pilihanraya.

“Sebahagian besar janji-janji tersebut masih belum ditunai lagi, bahkan sudahpun dilupakan… sungguhpun begitu, kerajaan yang tidak segan-silu menipu ini akan menabur janji baru kerana sudah tiba musim pilihanraya.

Jika ditanya mana janji yang lama, rakyat bakal mendengar kerajaan akan berjanji ‘janji yang lama’ akan dilaksanakan bersama ‘janji yang baru jika ‘rakyat bantu BN sekali lagi’ terlebih dahulu untuk menang dalam pilihanraya. Menang dulu sudah tidak dikira walaupun janji belum ditunaikan, itulah jenis kerajaan yang rakyat undi untuk 54 tahun,” sindir beliau.

Menjelang pembentangan bajet 2012 yang ramai menyifatkan sebagai bajet pilihanraya, Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus.

Memberikan reaksi sinis kepada isi bajet tersebut, Tuan Ibrahim berkata “Alangkah baiknya kalau pilihanraya boleh diadakan tiap-tiap tahun, sudah tentunya kesengsaraan mereka, yang terutamanya yang daripada sektor awam akibat tekanan hidup boleh dikurangkan dengan mendapat bonus dan kenaikan gaji tiap-tiap tahun.

“Alangkah seronoknya juga jika seseorang itu ialah peneroka kerana pelbagai bonus bakal diterima apabila tibanya musim pilihanraya.

Jika dibandingkan dengan derita orang kampung yang terbiar tak dipeduli. terkenang alangkah peritnya mereka yang bekerja sendiri di kampung, yang hanya dapat mendengar kenaikan gaji orang lain, tapi dirinya dilupakan kerajaan dan terus menderita dengan kenaikan kos hidup,” tambah beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Mengenai pembentangan bajet BN yang dijadualkan 7 Oktober ini, Tuan Ibrahim berkata perkara yang menyayatkan hati ialah ke’lalai’an rakyat dalam mendengar perisytiharan angka jutaan dan billion ringgit walaupun kebanyakannya hanya janji kosong sahaja.

“Ke’lalai’an itu bagaikan keseronokan menonton filem Hindustan pelakon lawa, rumah besar, kereta hebat, taman bunga cantik… namun segalanya hilang apabila filem tamat.

Sesudah bangun daripada ke’lalai’an khusyuk beberapa jam mendengar angka berjuta, berbillion yang kononnya akan sampai kepada mereka sebelum pilihanraya umum seterusnya… rakyat kembali ke ruang kini… di mana yang ada hanyalah realiti kehidupan rumah rakyat yang menunggu rebah,

anak-anak yang kurus kekurangan zat makanan dan suasana bebanan hidup yang semakin berat,” kata beliau, sambil berharap agar rakyat dapat sedar dan keluar daripada cycle yang kejam yang muncul setiap kali musim pilihanraya bertambah dekat.

“Jalan keluar hanya ada satu iaitu dengan mengundi “apa-apa sahaja selain daripada Umno BN” pada pilihanraya akan datang,” nasihat beliau.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hutang dan janji kerajaan ratusan bilion, dengar cerita pengkalan TUDM Butterworth pulak nak dijual, dah 3-4 bulan bebincang tak selesai lagi, nak tampung lubang janji, ari tu nak jual TUDM Kinrara tak tau apa ceritanye, nasib baik le Tan Seri Khalid memerdekakan Tanah Melayu dengan mengambil balik estate milik syarikat British(Dunlop dan sepertinya),tanah felda plantation pulak disandarkan, tak lama lagi mungkin putra jaya pulak dipajakkan atau dijual kepada hollywood. janji dapat duit