03 Oktober 2011

TERAS tolak kuota rumah b'putera disemak semula

5 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) menolak gesaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) supaya peruntukan kuota bumiputera disemak semula kerana mendakwa ia antara punca utama pemaju menanggung kerugian.

Sebaliknya, presiden TERAS Mohd Azmi Abdul Hamid berkata kuota bumiputera masih perlu dipertahankan pada kadar minimum 30 peratus dan sebarang semakan hendaklah dilakukan berdasarkan kajian semula kuota yang masih belum terjual.

“TERAS sangsi terhadap kenyataan bahawa ada unit yang tidak terjual kerana ada juga aduan bahawa bila ada pembeli bumiputera yang hendak membeli unit berkenaan, pemaju mendakwa unit bumiputera sudah habis dijual,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azmi juga membidas presiden REDHA Datuk Seri Michael KC Yam yang mendakwa unit rumah kuota bumiputera kurang diminati pembeli bumiputera sendiri kerana ia hanya boleh dijual kepada pembeli golongan itu sahaja, yang sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan pembeli pada masa depan.

Katanya, dakwaan itu perlu dibuktikan dengan fakta.
Diskaun bumiputera

“Beliau tidak boleh secara rambang membuat dakwaan tersebut kerana ia bukan suatu realiti umum yang berlaku. Golongan bumiputera tidak membeli kuota bumiputera berdasarkan dakwaan tersebut.

“Kebanyakan mereka sememangnya mahu membeli kuota bumiputera kerana diskaun yang ditawarkan.

“REHDA tidak boleh hanya menimbangkan keuntungan pemaju untuk meminta kuota bumiputera disemak semula,” katanya.

Azmi juga menuntut REHDA mengeluarkan maklumat secara terbuka mengenai jumlah dan lokasi di mana unit kuota rumah bumiputera didakwa masih belum terjual .

Dalam kenyataan akhbar itu, TERAS juga mempersoalkan kewajaran pengumuman REDHA berhubung unjuran harga hartanah akan meningkat sehingga 20 peratus dalam separuh kedua 2011. Kenaikan itu dikatakan berpunca daripada kenaikan harga bahan binaan dan kos pembinaan.

“TERAS mempersoalkan apakah pengumuman kenaikan harga rumah akan meningkat ini telah mendapat pertimbangan pihak kerajaan. Walaupun harga rumah tidak dikawal namun trend harga rumah berdasarkan harga bahan binaan masih berada dalam kawalan kerajaan.

Tidak yakin

“Oleh kerana isu perumahan adalah isu asasi terutama untuk kebanyakan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah maka kesan kenaikan yang diumumkan itu perlu mendapat perhatian dan tindakan kerajaan,” katanya lagi.

Menurut Azmi, REHDA tidak boleh dibiarkan membuat keputusan hanya berdasarkan kehendak pemaju.

“Harga batu bata, besi, simen dan pasir sepatutnya berada dalam kawalan kerajaan dan kenaikan tidak boleh berlaku secara wewenang.

“TERAS mempersoalkan apakah benar ia suatu kenaikan yang rasional atau hanya akibat spekulasi pemaju dan dengan sebab itu semua bahan binaan naik harga.” katanya.

Menurutnya, alasan kekurangan tenaga kerja yang dijadi alasan juga harus disemak oleh pihak berkuasa.

“TERAS tidak yakin bahawa kekurangan tenaga benar-benar berlaku kerana setakat ini belum kedengaran kerajaan mengumumkan sebarang langkah menghadkan tenaga kerja luar dalam sektor binaan.

“Oleh kerana itu REHDA perlu menjelaskan berapa kekosongan tenaga kerja yang diperlukan dan secara khusus dalam aspek kerja apa,” katanya.

MALAYSIAKINI/-

Tiada ulasan: