03 Oktober 2011

RUU Kg Baru ditarik balik

5 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Setelah menerima tekanan hebat dari perjuangan untuk membebaskan Kampung Baru dari Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru, bacaan kali kedua di Parlimen yang sepatutnya bermula hari ini, ditarik balik.

Perkara itu diumumkan pada sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, ia satu kemenangan kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

(Dr Lo' Lo' ...perjuangannya untuk Kampung Baru diiktiraf)

“Perkara pertama hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan telah menarik balik Rang Undang-undang Pembangunan Kampung Baru, Viva, kemenangan kepada Pakatan Rakyat dan Allahyarhamah Dr Lo’Lo’,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu.

Pelbagai pihak khasnya PAS mendesak agar rang undang-undang ditangguhkan dan bacaan kali keduanya hari ini ditarik balik.

Perjuangan ini, sebagaimana yang dinyatakan Tian Chua diperjuangkan dengan hebat oleh anggota Parlimen kawasan ini, Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Pemuda PAS sambut baik

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik langkah kerajaan yang menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sepatutnya dibacakan kali kedua di Parlimen hari ini.

Ketuanya, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz (gambar) menganggap kejayaan ini sebagai hasil perjuangan rakyat khususnya penduduk Kampung Baru sendiri yang berusaha daripada peringkat awal bagi memperjuangkan tanah hak milik mereka.

Dengan penarikan balik bacaan kali kedua ini menunjukkan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengakui bahawa Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru sebenarnya tidak menguntungkan rakyat.

DPPKT mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang memainkan peranan besar dalam menyatukan penduduk Kampung Baru di samping memberi kefahaman yang jelas terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru terhadap penduduk kampung.

Bagi DPPKT, perjuangan SPKB selama ini berbaloi dan kerajaan akhirnya terpaksa akur dengan desakan rakyat yang tidak mahu melihat tanah warisan milik Orang Melayu menjadi korban pembangunan pesat Kuala Lumpur.

Tahniah juga diucapkan kepada Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang berjaya sebagai pentadir Kampung Baru selama 111 tahun lamanya serta turut sama terlibat dalam memperjuangkan isu ini.

"Ini membuktikan peranan MAS diakui penting bagi menjaga hak pemilik Kampung Baru," katanya.

Selain SPKB dan MAS, peranan utama yang dimainkan oleh Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali selaku Ahli Parlimen Titiwangsa yang selama hayatnya tidak pernah merasa jemu dan letih turun padang bagi membela isu Kampung Baru, kata Suhaimi.

"Selama tempoh perkhidmatannya yang singkat ini, beliau berjaya membawa isu Kampung Baru sebagai isu nasional dan membela nasib penduduk Kampung Baru ke peringkat tertinggi. Ini menunjukkan prestasi wakil rakyat PAS dan Pakatan Rakyat sebagai pembela rakyat jauh lebih baik daripada wakil rakyat Barisan Nasional yang telah memerintah berpuluh tahun lamanya," tegas beliau.

Katanya, DPPKT mengharapkan penarikan Rang Undang-Undang ini bukanlah bersifat sementara sebagai gimik politik semata-mata bagi mengabui mata rakyat menjelang Pilihnaraya Umum ke 13, sebaliknya kerajaan perlu ikhlas dalam memastikan kebajikan dan hak rakyat terbela pada bila-bila masa.


Bantahan PAS

Sebelum ini, PAS mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Baru 2010 (RUU PPKB 2010) dan tidak meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen sessi ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebaliknya berkata, RUU PPKB tersebut perbincangan semula membabitkan pihak yang benar-benar berkaitan dengan Kg Baru.

Menyifatkan RUU PPKB sebagai "tidak masak", dan "cacat", Salahuddin berkata cadangan bacaan kali kedua itu bertentangan dengan pendirian pemilik dan pewaris Kg Bharu.

(Salehudin mengadakan sidang media khas 27 September lalu membantah RUU Kg Baru dan minta bacaan keduanya ditangguhkan)

"Penangguhan bacaan kali kedua sebelum ini membuktikan rang undang-undang ini tidak masak, tidak sempurna dan cacat maka satu perundingan yang serius perlu dilakukan yang perlu melibatkan wakil penduduk yang sah termasuk badan bukan kerajaan yang ada di Kg Bharu," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, 27 September lepas.

Salahuddin dalam pada itu turut menganggap kejayaan awal penentangan penduduk terhadap RUU PPKB hasil pengorbanan ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' yang berusaha keras memberi kesedaran kepada penduduk mengenai 'sesuatu yang tidak kena' dengan RUU tersebut.

Allahyarhamah Dr. Lo' Lo' menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) parlimen Titiwangsa menubuhkan Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu (SPKB) dengan tujuan membantu beliau meneliti, mengkaji dan memberikan maklumat penuh berkaitan RUU PPKB 2010.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: