03 Oktober 2011

Polis diminta tingkat usaha kawal jenayah ragut

5 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 3 Okt: Penduduk Kawasan Taman Sri Sentosa melahirkan kebimbangannya apabila kes ragut semakin meningkat di kawasan ini yang sekaligus boleh meragut nyawa.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, dengan berbagai aduan rakyat yang diterima, beliau mengeluarkan surat permohonan kepada Ketua Balai Polis Petaling, di Balai Polis Sri Sentosa, Petaling agar rondaan dipertingkatkan di sekitar kawasan itu.

(Nurul bercakap dengan para pegawai polis Sri Sentosa)

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis harus meningkatkan usaha operasi pengawalan secara berkala bagi mengurangkan kadar jenayah terutamanya kes ragut yang kerap kali berlaku di kawasan tersebut.

Menurutnya berdasarkan aduan yang diterima oleh masyarakat setempat baru-baru ini di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Lembah Pantai, pihaknya mendapati kadar jenayah terutamanya kes ragut kembali meningkat.

"Justeru itu, bagi menjaga keselamatan penduduk di sini terutamanya golongan wanita, saya harap pihak berwajib mengambil tindakan segera agar tidak berlaku perkara yang diingini," katanya.

Katanya lagi, masalah keselamatan yang kerap berlaku sekarang adalah kes ragut, terutamanya berdekatan kawasan Gereja Methodist, Jalan Sri Sentosa 12, berhadapan Tokong Cina dan ini menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan sentiasa hidup dalam kerisauan dan ketakutan.

Beliau berpendapat, anggota polis seramai 106,000 anggota untuk kawasan ini tidak mencukupi kerana 41 peratus di pertanggungjawabkan ke tugasan pengurusan pentadbiran.

Manakala 9,000 orang ditugaskan ke jabatan siasatan jenayah.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Keadilan menegaskan, yang wajib dilakukan adalah pemfokusan tugasan polis ke arah siasatan jenayah; ini memungkinkan peningkatan tangga gaji anggota polis, dengan kualiti dan profesionalisme yang dinantikan rakyat.

"Anggota polis perlu mengadakan rondaan dengan lebih kerap ke kawasan panas yang menjadi tumpuan peragut kerana pada tahun lepas pernah terjadi insiden sehingga meragut nyawa penduduk disitu, bukan sekali dua tetapi acapkali jenayah ragut dilaporkan berlaku dikawasan terbabit tanpa mengira waktu,”katanya kepada media kelmarin.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: