19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
ALOR SETAR: Seorang jururawat tidak menyangka beg kain berbelang merah putih di bawah pokok yang ditemuinya berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini, semalam, mengandungi bayi lelaki baru dilahirkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, bayi dalam keadaan berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih itu dipercayai baru empat jam dilahirkan.
Bayi seberat 2.6 kilogram (kg) yang masih bertali pusat itu ditemui jururawat berkenaan yang baru saja meletakkan kenderaan di kawasan itu untuk memulakan tugasannya di klinik.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata jururawat itu membuka bungkusan itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi lelaki di dalamnya.
“Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru empat jam dilahirkan dan mukanya masih kemerahan selain tangannya dihurungi semut. Bayi itu ditemui di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini.
“Jururawat itu ternampak beg kain berbelang merah putih di bawah pokok berhampiran yang kelihatan bergerak-gerak sebelum menghampirinya. “Dia mendapati seorang bayi lelaki yang hanya berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih di dalam beg berkenaan dan terus membawanya ke klinik sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Baharom berkata, bayi terbabit dirawat di klinik kesihatan itu dan dilaporkan dalam keadaan sihat.
Katanya, polis turut menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, namun belum mendapat petunjuk. “Berdasarkan siasatan awal, polis percaya bayi berkenaan berketurunan Melayu. “Setakat ini, kami masih berusaha dan sedang mengenal pasti beberapa petunjuk bagi menjalankan siasatan berhubung kes ini.
“Kami mendapatkan rakaman CCTV di kawasan berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Kami minta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaitul Najahah Abd Patah di talian 04-7321222,” katanya.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan