15 November 2011

Jambatan PP, beberapa laluan ditutup Ahad

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN – Jambatan Pulau Pinang dan beberapa laluan menghala ke arahnya akan ditutup mulai pukul 12 tengah malam hingga 10 pagi pada Ahad ini sempena acara Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang.

Pegawai Penguat Kuasa dan Operasi Trafik Kontinjen Polis Pulau Pinang, ASP Ahmad Ezzely Razali berkata, jalan-jalan yang ditutup itu ialah Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Lebuh Raya Tunku Kudin dan Lebuh Raya Sungai Nibong.

"Keseluruhannya sebanyak 30 laluan dan jalan ditutup serta dilencongkan bagi memastikan Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang diadakan dengan lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, antara jalan yang dilencongkan ialah susur keluar Jalan Pantai Jerejak, Jalan Sultan Ahmad Shah, simpang Jalan Sungai Pinang, simpang Hajjah Rehmah dan Gat Lebuh Cecil.

Beliau berkata, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif antaranya Jalan Jelutong, Jalan Bukit Gambir, Jalan Masjid Negeri, Bulatan Gelugor, Jalan Yap Chor Ee dan Jalan Tun Dr Awang.

"Orang ramai yang menghadapi kecemasan atau sebarang masalah berhubung lalu lintas pada hari berkenaan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang 04-2221722,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: