19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
KOTA KINABALU: Percutian sepasang warga emas dari Jepun bertukar tragedi apabila kayak dinaiki mereka dirempuh sebuah bot yang sedang mengundur menyebabkan wanita berusia 60 tahun maut terkena kipas dalam kejadian di Pulau Gaya, di sini, semalam.
Sebelum kejadian, Reiko Tanako, dan suami, Takao Tanaka, 67, berkayak di sekitar pulau berkenaan dan bot membawa tujuh penumpang sedang bersiap untuk berlepas ke Jeti Jesselton, di sini, jam 12.50 tengah hari. Menurut sumber, kapten bot yang tidak menyedari kehadiran pasangan itu merempuh mereka menyebabkan kedua-duanya terpelanting.
“Pasangan warga emas itu ditarik orang ramai ke pantai dan Reiko yang parah di dada sudah meninggal dunia manakala suaminya yang cedera di beberapa bahagian badan dikejarkan Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, pasangan suami isteri warga Jepun itu menginap di resort berhampiran dan sedang melakukan aktiviti berkayak, manakala bot penumpang itu membawa pekerja resort dan sedang berundur tanpa menyedari kayak dinaiki pasangan terbabit.
“Akibat kejadian itu, Reiko cedera parah di dada dipercayai terkena kipas dan mati di tempat kejadian,” katanya.
Peter berkata, polis sudah menahan kapten bot berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 304 (a), Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.
Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas jika mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun ketika dihubungi menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan serius dan memberi kesan terhadap industri pelancongan di Sabah.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan