15 November 2011

Menghadapi Ujian

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

"Seluruh kehidupan adalah ujian Allah. Jika apa yang kita lakukan - rasmi atu tidak rasmi - mendekatkan diri kepada Allah dengan menyembah dan beramal ibadat kepadaNya, insyaAllah kita akan lulus ujian tersebut.

Saya terkenang seorang berkuasa menyatakan kepada saya, "Prof nanti ada seseorang yang akan berjumpa dengan prof, tolong bantu beliau untuk mendapatkan kontrak XYZ.

Nanti saya usahakan prof disambung kontrak pengarah kampus". Dengan lemah lembut dan tersenyum saya nyatakan,

"Tuan Haji, saya minta pertolongan jangan sambung kontrak saya. Saya merayu supaya tidak ditolong. Saya tidak minat jadi pengarah kampus. Saya tidak sanggup berdosa. Cukup Tuan Haji, sejak balik dari menunaikan fardhu haji, saya tidak fikir saya mahu balik semula pada zaman lampau saya".

Beliau beredar dan sehingga ke hari ini beliau tidak lagi saya temui. Saya tahu dengan jelas bukan beliau yang memberikan rezeki kepada saya dan keluarga.

Begitulah, saya didatangani oleh seorang ustaz yang mengharapkan pertolongan agar anaknya diterima masuk sebagai staf UiTM. Jawatan kerani. Pagi-pagi lagi beliau sudah muncul di rumah. Lalu saya dengar dengan teliti tujuan kedatangan beliau dan dengan nada perlahan saya berkata,

"Ustaz, boleh saya bertanya satu soalan? Jika ada 4 calun yang ditemuduga, katalah anak ustaz yang paling teruk sekali, tidak berkelayakan, maka jika saya memberi markah yang tertinggi kepadanya, adakah saya berdosa? (Nota: beliau memberi jawapan, "berdosa"). Sanggupkan ustaz menyuruh saya melakukan dosa?"

Saya sebak di hadapan beliau. Dalam sebak inilah saya nyatakan kepada beliau, "ustaz, saya mungkin mempunyai sedikit kuasa tetapi kuasa Allah lagi luas dan tidak terperi hebatnya. Saya tidak mahu berdosa. Tolonglah saya ustaz untuk tidak melakukan dosa. Ustaz orang beragama. Ustaz orang pandai. Saya orang bodoh, jahil dan tidak berilmu".

Beliau meninggalkan rumah saya tanpa berkata apa-apa.

KRTS

Tiada ulasan: