10 Januari 2012

Seorang pemburu ayam hutan cedera terkena tembakan senapang patah

16 Safar 1433H. [MOD] -

TEMERLOH - Seorang lelaki cedera di bahagian tangan dan kaki dipercayai terkena tembakan peluru sesat semasa memburu ayam hutan di sebuah ladang kelapa sawit dekat Kerdau petang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansur berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.45 petang sewaktu mangsa Wan Mohd Fadzil, 28, bersama seorang rakannya sedang memburu ayam hutan di kawasan Ladang Jentar.

Ketika asyik memburu, rakan mangsa yang berada kira-kira lima meter darinya terdengar mangsa tiba-tiba menjerit kesakitan setelah terdengar satu tembakan dilepaskan dari jarak kira-kira 20 meter.

Rakannya mendapati kedua tangan dan kaki mangsa berlumuran darah dipercayai terkena serpihan peluru senapang patah.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan kini dilaporkan stabil.

Mohd Noor berkata, kira-kira tujuh serpihan peluru penabur dipercayai daripada selaras senapang patah berjaya dikeluarkan dari kaki dan tangan mangsa.

Ekoran kejadian itu polis menahan seorang lelaki dalam lingkungan 30 tahun dan merampas selaras senapang patah buatan sendiri serta beberapa butir peluru dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api, 1960.

Sinar Harian

Tiada ulasan: