26 Mac 2012

Minyak Iran: Najib lemah ikut telunjuk Amerika

3 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar tindakan kerajaan Malaysia kerana mengarahkan Petronas menghentikan mengimport minyak dari Iran mulai April iaitu dua bulan sebelum sekatan Amerika Syarikat berkuat kuasa ke atas negara itu.

“DPPM melihat tidak wajar Malaysia mengikut tindakan Amerika Syarikat itu,” kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar).

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh Amerika Syarikat adalah langkah politik kerana terlibat secara langsung konfrontasi dengan Iran.

Menurutnya, Amerika Syarikat dalam sejarahnya adalah sebuah negara yang suka membuli dan menyerang negara lain yang lebih kecil, selepas Afghanistan, Iraq kini Iran pula akan menjadi mangsa mereka.

“DPPM menganggap tindakan kerajaan Malaysia ini seperti takut dan patuh dengan kehendak Amerika Syarikat.

“Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najb dilihat amat lemah kerana terpaksa tunduk patuh dengan arahan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya Najib perlu sedar bahawa kepimpinan Amerika Syarikat tidak banyak membela umat Islam.

Beliau menambah, Amerika Syarikat sanggup membunuh jutaan umat Islam yang dilihat tidak tunduk dengan kehendak mereka seperti mana yang berlaku di Iraq dan Afghanistan.

“Mereka sanggup melihat tentera Zionis Israel meratah umat Islam di Palestin tanpa sebarang pembelaan Jutaan nyawa umat Islam di Iran pula kini dalam bahaya jika Amerika Syarikat menyerang mereka,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tindakan Malaysia pula akan menyebabkan konflik serantau yang lebih buruk akan berlaku yang boleh menjejaskan ekonomi negara tersebut sedangkan Iran tidak bermusuhan dengan Malaysia.

Justeru, katanya Malaysia dilihat oleh negara umat Islam yang lainnya sebagai turut bersubahat bersama Amerika Syarikat bagi menghukum umat Islam di negara Iran.

Sehubungan itu, ujarnya DPPM mengajak rakyat khususnya umat Islam melihat betapa lemahnya pentadbiran Najib sehingga sanggup tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat.

“Bagaimana mungkin pemimpin umat Islam di Malaysia seperti Datuk Seri Najib boleh bangkit menyuarakan kelantangan menentang rejim Zionis serta penyembelihan umat Islam di serata dunia oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, jika terus mengikut telunjuk Amerika Syarikat serta tidak berani ‘mengangkat muka’ bagi mempertahankan kebenaran,” katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: