28 Rejab 1433H. [MOD] -
DUNGUN – Hiba dan terkejut, itulah perasaan Mohd Hafizan Mamat, 26, seorang kakitangan swasta sebaik melihat jasad bapanya, Mamat Taib, 57, yang ditutup surat khabar terbujur kaku di tepi jalan raya.
Mamat maut dalam kemalangan tragedi ngeri membabitkan sebuah kereta dan lori di sini, pagi semalam. Dalam kemalangan kira-kira jam 11.20 pagi itu, kereta dipandu mangsa dari arah Dungun menghala ke Paka dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori sarat muatan bawang.
Akibat pertembungan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu setelah bahagian hadapan Proton Wira dipandunya remuk teruk, manakala lori yang dari arah Paka menghala ke Dungun itu terbalik. Mangsa yang parah pada bahagian kepala selepas terbabit dalam nahas ngeri di Kilometer 95 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan Klinik Kesihatan Kampung Nyiur itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bapa pulang selepas hantar ibu MENURUT Mohd Hafizan yang ditemui di tempat kejadian, sebelum kemalangan, bapanya yang juga peneroka Felda Kerteh Enam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ketengah Jaya selepas menghantar ibunya, Khafiah Yusuf, 54, ke Stesen Bas Dungun. Mohd Hafizan berkata, arwah bapanya itu keluar rumah sejak jam 8.30 pagi lagi bagi memastikan ibunya tidak ketinggalan bas ekspres untuk ke Shah Alam, Selangor kerana melawat kakak iparnya yang baru melahirkan anak kedua.
Katanya, sebelum bertolak pulang ke Ketengah Jaya, ketika dia berada di tempat kerja di Kerteh, dan arwah bapanya sempat menghubungi melalui telefon bimbit memaklumkan bahawa sudah menaiki bas untuk menuju ke Shah Alam.
Beria-ia mahu ibu ke Shah Alam
“SEBELUM kejadian, dia begitu beria-ia mahu ibu ke Shah Alam untuk melihat anak saudara saya yang baru dilahirkan, “Tak sangka pula dalam perjalanan pulang dia terlibat dengan kemalangan yang mengorbankan nyawanya,” katanya. Kata Mohd Hafizan, dia tidak menyangka bapanya yang difahamkan baru mendapat durian runtuh duit Felda sebanyak RM5,000 itu akan pergi begitu cepat berikutan tiada sebarang perubahan ditunjukkan mangsa.
“Baru beberapa jam saya bercakap dengannya menerusi telefon, kini dia sudah tiada,” katanya. Jalan sesak di kedua-dua arah SEMENTARA itu, akibat kemalangan terbabit, jalan raya di kedua-dua hala turut mengalami kesesakan teruk sejauh lebih tiga kilometer.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, beberapa anggota polis dibantu anggota Rela dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat berkaitan tragedi itu. “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. “Jenazahnya dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketengah Jaya, Dungun,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan