18 Jun 2012

DAP Selangor yakin menang semua kerusi

28 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG - DAP Selangor yakin dan telah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada bila- bila masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Teng Chang Kim berkata, setelah hampir empat tahun diberi kepercayan menerajui Selangor, beliau yakin sokongan rakyat kepada DAP dan Pakatan Rakyat terutamanya sokongan dari penduduk kawasan luar bandar semakin meningkat.

“DAP telah memenangi 13 kerusi dari 15 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan pada PRU lalu, kali ini kami yakin akan memenangi seratus peratus dari kerusi yang dipertandingkan itu,” katanya selepas merasmikan kempen gotong-royong perdana membasmi aedes di Taman Kembara, Rantau Panjang, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Majlis Perbandaran Klang, Robert Choo Teck Keong; Pegawai Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Sharifah Nurainul Basirah Syed Mohmad Faudzi; Pengerusi Persatuan Penduduk, Abdul Latif Mat Shuid.

Menurutnya, pelbagai program yang dijalankan parti dan pakatan rakyat di Selangor memperlihatkan reaksi positif dari rakyat, di mana mereka akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk terus menerajui kepimpinan negeri Selangor.

Pada PRU lalu, DAP Selangor berjaya memenangi 13 daripada 15 kerusi Dun yang dipertandingkan iaitu Dun Sekinchan, Dun Teratai, Dun Balakong, Dun Seri Kembangan, Dun Kinrara, Dun Subang Jaya, Dun Bukit Gasing, Dun Kampung Tunku, Dun Damansara Utama, Dun Sungai Pinang, Dun Pandamaran, Dun Kota Alam Shah dan Dun Teluk Datuk.

Dalam program tersebut, Chang Kim turut mengingatkan penduduk setempat agar menguruskan pembuangan sampah secara teratur bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, pengurusan sampah yang baik dapat menjimatkan kos dan bagi sampah yang boleh dikitar semula mungkin boleh menambah pendapatan jika diuruskan dengan baik.

Chang Kim turut memuji komuniti Dun Sungai Pinang yang dilihat antara komuniti paling aktif menjalankan program kemasyarakatan di negeri ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: