28 Rejab 1433H. [MOD] -
BUKIT MERTAJAM – Seramai 60 kaki lumba terpaksa menolak motosikal sejauh kira-kira tiga kilometer dari stesen minyak Shell dekat Plaza Tol Juru arah Utara ke Balai Polis Bukit Tengah, dekat sini, awal pagi semalam.
Ia sebagai pengajaran selepas mereka ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan polis daerah SPT bersama Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Polis Bantuan, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, operasi yang dikenali sebagai Ops Cegah Jenayah/ Ops Cegah Lumba Haram yang bermula dari jam 10 malam dan berakhir
kira-kira jam 4 pagi itu melibatkan 150 anggota, termasuk 15 pegawai.
Menurutnya, operasi selama enam jam itu menumpukan dua lokasi panas di Juru, selepas Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara dan Butterworth-Kulim Expressway (BKE) di Kubang Semang, selain jalan sekitar
enam balai SPT.
“Semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 30 tahun dan menggunakan laluan lebuh raya sebagai litar untuk menunjukkan kehebatan masing-masing kepada penyokong dan pemerhati tanpa menyedari bahaya yang
menanti di depan.
“Berdasarkan siasatan, ada dalam kalangan mereka yang terlibat dengan kegiatan curi motosikal dan memasangkan bahagian yang dicuri itu ke badan motosikal mereka dengan pelbagai tujuan.
Justeru, operasi ini diadakan bertujuan bagi mengekang kegiatan lumba haram dan aktiviti jenayah seumpamanya,” katanya.
Dalam pada itu, pelbagai alasan diberikan mereka yang ditahan, termasuk mahu menjemput saudara yang turun dari bas di plaza tol berkenaan, mahu mengisi minyak dan membeli makanan.
Tidak kurang ada juga yang sanggup bergadai nyawa berpatah balik dan menunggang motosikal melawan arus bagi mengelak daripada ditahan.
Namun, anggota polis yang sudah masak dengan alasan itu bertindak merampas kunci motosikal, seterusnya melakukan pemeriksaan sebelum diambil tindakan.
Mereka yang didapati bersih dilepaskan, sementara yang kantoi terpaksa menolak kenderaan masing-masing ke Balai Polis Bukit Tengah.
Sementara itu, Ketua Trafik/Ketenteraman Awam IPD SPT, Asisten Superintendan S Manogaran yang mengetuai operasi berkata, sebanyak 444 motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan melibatkan 510 individu.
Tiga individu berusia 24 hingga 32 tahun turut ditahan, termasuk seorang wanita selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.
“Sebanyak 152 saman dikeluarkan dan sebanyak 58 motosikal turut disita dan dibawa ke IPD SPT untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan