28 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA NERANG: Seramai 63 pelatih Program Khidmat Negara (PLKN) kem Dusun Resort, di sini masih dikuarantin manakala dua lagi masih dirawat di Hospital Kuala Nerang akibat jangkitan virus influenza A (H1N1).
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata bilangan pelatih yang dikuarantin berkurangan berbanding jumlah asal 78 orang.
"Saya yakin dalam masa terdekat dua pelatih (perempuan) yang dirawat di hospital akan dibenar pulang, manakala 63 pelatih dikuarantin dalam blok khas dalam kem.
"Pelatih-pelatih yang diasingkan melakukan aktiviti sesama mereka sahaja. Mereka rehat, makan dan mempunyai ubat yang secukupnya," katanya kepada pemberita pada lawatan kerja Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), di kem Dusun Resort di sini, hari ini.
Terdapat 303 pelatih sedang menjalani latihan PLKN di kem Dusun Resort yang akan berakhir 14 Julai ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata semua aktiviti luar akan dibatal jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, manakala jika IPU antara 95 hingga 99 pelatih perlu memakai topeng muka dan aktiviti luar akan dikurangkan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan