28 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas bukan sahaja dihamburkan kata-kata kesat, malah lebih melampau, hanya kerana kegagalannya mengawal kereta sehingga hampir terlanggar seorang pemuda, menyebabkan dia teruk dibelasah dalam satu kejadian di Kampung Raja Baram, Chendering, di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa, 59, yang memandu kereta dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum hampir terlanggar suspek, 31, yang sedang menunggang basikal datang dari arah bertentangan.
Menurut sumber, mangsa yang langsung tidak perasan kehadiran suspek kerana basikal yang ditungganginya tidak berlampu, nyaris terlanggar suspek yang menyebabkan dia terbabas ke bahu jalan.
“Disebabkan tidak berpuas hati apabila menyedari dia hampir dilanggar, suspek naik angin lalu terus membuka pintu kereta yang dipandu mangsa dan menghamburkan kata-kata kesat.
“Tidak cukup dengan itu, dia turut menumbuk dan menerajang badan mangsa sehingga menyebabkan bengkak di bahagian pipi kanan dan luka-luka di bahagian badan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, mangsa yang masih trauma dengan kejadian itu mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chendering, di sini, selepas kejadian.
Susulan itu, suspek telah ditahan di kediamannya di Kampung Ketapang, Chendering, kira-kira jam 1.30 pagi semalam dan menerima perintah tahanan reman selama empat hari untuk siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan