18 Jun 2012

Tangan terikat, warga emas mati akibat serangan jantung

28 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR - Seorang warga emas ditemui mati dengan keadaan kedua-dua tangannya terikat dalam satu kejadian samun bersenjata di kediamannya di Taman Highland, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Zulkifli Shamsudin, 62, dikatakan baru sahaja pulang bersama isterinya selepas selesai menjalankan perniagaan yang terletak tiga kilometer dari kediaman mereka.

Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah itu, mangsa bersama isteri yang ketika itu sedang berehat di bahagian dapur rumah, secara tiba-tiba diserang empat lelaki bertopeng yang menyerbu masuk lalu mengikat mangsa. Mangsa yang turut mengalami kesan cedera di bahagian bawah dagu diikat menggunakan wayar telefon manakala isterinya, Radiah Kamaruddin, 62, diikat dengan wayar periuk nasi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, isteri mangsa yang berjaya meloloskan diri keluar melalui pintu belakang dan meminta bantuan penduduk berhampiran untuk menghubungi polis.

Menurutnya, polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu segera ke lokasi dan berjaya memberkas seorang daripada ahli kumpulan berkenaan.

“Ketika itu, tiga yang lain berjaya melarikan diri, bagaimanapun seorang daripada mereka berusia 47 tahun berjaya diberkas selepas didapati tersangkut pada bahagian siling rumah mangsa.

“Siasatan awal mendapati, kesemua penjenayah masuk ke rumah berkenaan melalui bumbung sebelum menyerang dan melarikan wang tunai serta barang kemas mangsa bernilai hampir RM20,000,” katanya. Abdul Gaffar berkata, daripada pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan dalam kejadian rompakan itu.

Bagaimanapun katanya, hasil bedah siasat, Zulkifli yang ditemui terbaring di lantai dengan keadaan kedua-dua tangan terikat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat sakit jantung.

Lima jam selepas insiden itu, gerakan pasukan khas yang ditubuhkan polis berjaya menjejaki dua lagi ahli kumpulan berkenaan di sekitar pekan Kuala Kangsar kira-kira jam 10 pagi semalam.

Beliau berkata, dengan penahanan dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu, polis kini sedang menjalankan gerakan untuk mencari seorang lagi ahli kumpulan berkenaan yang dipercayai sedang menyembunyikan diri.

Radiah ketika ditemui mengakui masih trauma mengingati detik kejadian itu. “Sebaik tiba di rumah saya terus ke dapur untuk memasak air, tiba-tiba kami diserang sekumpulan lelaki dengan pisau, kami diugut agar tidak melawan dan menyerahkan wang serta barang kemas, apabila saya nggan bekerjasama, mereka bertindak memukul saya,” katanya.

Radiah tidak menyangka, perubahan arwah yang agak kurang selera makan dua hari sebelum insiden itu menjadi petanda pemergian suaminya itu. Difahamkan, kejadian semalam adalah yang kedua berlaku sejak tahun lalu.

Abang mangsa, Zainul Ariffin Shamsudin, 67, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya itu sekitar dua minggu lalu di sebuah majlis kenduri. “Arwah sangat rapat dengan adik-beradik dan mempunyai ramai kenalan,” katanya.

Jenazah Allahyarham Zulkifli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Merbau selepas solat Zuhur.

Sinar Harian

Tiada ulasan: