23 November 2012

Siapa Sebenarnya Menghina Rakyat Sarawak?

9 Muharram 1433H. [MOD] -

Kita ingin mengulas sedikit tentang kenyataan Abdul Karim Rahman
Hamzah dalam Borneo Post bertajuk “Hadi as prime minister bad for
S’wakians" atau “Hadi sebagai Perdana Menteri Tidak Baik Untuk
Penduduk Sarawak”.

Kenyataan ahli majlis tertinggi PBB Abdul Karim Rahman Hamzah dan
beberapa pemimpin BN (Barisan Nasional) Sarawak yang menolak Presiden
PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri dengan
alasan kerana Abdul Hadi Awang pernah mengucapkan kata-kata menghina
penduduk asal Sarawak. "Bukankah orang ini yang memperkecilkan
penduduk asli Sarawak masih mundur, masih pakai 'cawat' atau pakaian
pinggang dan tidak tahu bagaimana untuk mengundi? "

Adakah hanya dengan alasan ini menyebabkan Haji Abdul Hadi ditolak
oleh penduduk Sarawak? Ini adalah alasan budak-budak yang baru masuk
sekolah rendah, jangan hanya disebabkan kenyataan beliau yang diputar
belit oleh pihak media dan pemimpin BN menyebabkan penduduk Sarawak
takut dan menolak seorang yang dikenali sebagai seorang yang amanah
dan jujur dalam menjalankan tugasnya sebagai pemimpin.

Itu saja alasan mereka untuk menolak Haji Abdul Hadi Awang sebagai PM
bukan disebabkan ada kes rasuah atau penyelewengan kuasa. Perlu
diingat bahawa yang berhak menentu atau memilih PM adalah rakyat
Malaysia bukannya pemimpin BN. Kalau pemimpin BN Sarawak menolak dan
tidak suka Haji Abdul Hadi Awang sebagai PM bukan bermakna semua
rakyat Sarawak sependapat dengan pemimpin BN.

Sekarang penduduk asal Sarawak sudah sedar siapa sebenarnya yang
menghina dan menipu mereka selama ini. Selama ini penduduk asal
Sarawak masih lagi ketinggalan dalam arus pembangunan, Ada yang masih
hidup dalam hutan memburu dan mencari makanan untuk meneruskan
kehidupan. Mereka hidup dalam keadaan daif dan miskin disebabkan tiada
pembangunan dan infrastruktur dalam kawasan mereka.

Jalanraya atau jalan penghubungan di pedalaman Sarawak amat teruk dan
sukar dimasuki. Ini adalah kenyataan bukannya perkara rekaan
semata-mata. Kalau tidak percaya cuba masuk ke dalam pedalaman
Sarawak. Tiada jalanraya yang baik kecuali jalan lori balak dan
menggunakan sungai yang berliku-liku.

Dimana peruntukan berbilion-bilion ringgit untuk penduduk di pedalaman
Sarawak, yang sepatutnya dinikmati oleh mereka tapi masih lagi Sarawak
di katagori sebagai negeri termiskin dalam Malaysia?

Inilah penghinaan sebenar kepada penduduk Sarawak terutama sekali
penduduk yang tinggal di pedalaman. Mereka seolah-olah hidup di zaman
penjajah, kehidupan mereka terabai hanya waktu pilihanraya barulah
nampak pemimpin-pemimpin BN turun menjengok mereka dengan memberi
sedikit habuan dan hiburan yang melalaikan mereka. Mereka dihiburkan
dengan tarian dan minuman yang memabukkan dan akhirnya mereka tidak
sedar yang tempat tinggal mereka telah tergadai diambil oleh
syarikat-syarikat perladangan dan sebagainya. Isu-isu tanah penduduk
asal Sarawak sampai sekarang masih belum selesai dan dipandang sepi
oleh pemimpin BN, seolah-olah penduduk asal menumpang di tanahair
sendiri.

Mengapa pemimpin BN sangat takut dengan PAS dan Pakatan Rakyat? Hanya
orang yang bersalah takut dan menolak seorang yang amanah, jujur dan
adil sebagai ketua negara atau sebagai PM. Kalau kita tidak bersalah
mengapa mesti takut, tiada sebab untuk takut umpama orang yang takut
melihat pihak polis mengadakan sekatan jalanraya. Kalau ada lesen
memandu dan cukai jalan tiada sebab untuk takut tapi apabila memandu
tanpa lesen dan juga tiada cukai jalan sudah pasti orang itu akan
mengelak dan takut kena saman polis.

Jadi fikir-fikirlah dengan baik tanpa ada sikap prejudis dan perkauman
kerana Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri pun mengatakan bahawa
yang penting Islam itu menang bukan dia ingin sangat hendak jadi PM.
Sesiapa pun boleh jadi PM dengan syarat dia mesti amanah, jujur,
ikhlas, adil dan diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
 

Tiada ulasan: