23 November 2012

Waspada sindiket anugerah darjah kebesaran negeri

9 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Istana Kelantan mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket menganugerahkan darjah kebesaran negeri dengan cara tidak sah bertujuan mendapatkan wang walau pun pihak tertentu mendakwa dapat mengurniakan darjah kebesaran itu.

Ini kerana tidak ada mana-mana  pihak diberi autoriti oleh Sultan Kelantan untuk mengurniakan darjah kebesaran itu termasuk membabitkan bayaran kewangan.

Ketua Istiadat Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata tidak ada mana-mana pihak atau individu yang boleh mengurniakan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan.

Bahkan, jelasnya mengikut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Yang Kedua), Sultan Kelantan sahaja yang boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan pangkat-pangkat kemuliaan, pingat-pingat kebesaran dan kehormatan.

“Darjah Kebesaran Kelantan dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan menurut kuasa-kuasa di bawah Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan dan hanya Baginda yang mempunyai kuasa mutlak, dan tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai wakil untuk menguruskan perkara ini.

Bercakap kepada pemberita di Istana Balai Besar di sini petang semalam, beliau mengulas perkembangan terbaru termasuk kejadian ‘penipuan dilakukan pihak tertentu’  seperti didakwa berlaku di Sarawak dan di Kuala Lumpur, dengan menipu orang ramai bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri dengan bayaran sehingga RM200 ribu.

Jelasnya, Darjah Kebesaran Negeri Kelantan dikurniakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tuanku yang diadakan setiap tahun pada 11 haribulan November.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: