KOTA BHARU: Istana
Kelantan mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan
sindiket menganugerahkan darjah kebesaran negeri dengan cara tidak sah
bertujuan mendapatkan wang walau pun pihak tertentu mendakwa dapat
mengurniakan darjah kebesaran itu.
Ini kerana tidak ada mana-mana pihak diberi autoriti oleh Sultan
Kelantan untuk mengurniakan darjah kebesaran itu termasuk membabitkan
bayaran kewangan.
Ketua Istiadat Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata tidak ada
mana-mana pihak atau individu yang boleh mengurniakan Darjah-Darjah
Kebesaran Negeri di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan.
Bahkan, jelasnya mengikut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang
Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Yang Kedua),
Sultan Kelantan sahaja yang boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran
serta mengadakan pangkat-pangkat kemuliaan, pingat-pingat kebesaran dan
kehormatan.
“Darjah Kebesaran Kelantan dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Al-Sultan menurut kuasa-kuasa di bawah Undang-Undang Perlembagaan
Tubuh Kerajaan Negeri mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan dan hanya
Baginda yang mempunyai kuasa mutlak, dan tidak pernah melantik mana-mana
pihak sebagai wakil untuk menguruskan perkara ini.
Bercakap kepada pemberita di Istana Balai Besar di sini petang
semalam, beliau mengulas perkembangan terbaru termasuk kejadian
‘penipuan dilakukan pihak tertentu’ seperti didakwa berlaku di Sarawak
dan di Kuala Lumpur, dengan menipu orang ramai bagi mendapatkan darjah
kebesaran negeri dengan bayaran sehingga RM200 ribu.
Jelasnya, Darjah Kebesaran Negeri Kelantan dikurniakan oleh Sultan
Kelantan, Sultan Muhammad V sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tuanku
yang diadakan setiap tahun pada 11 haribulan November.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan