18 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KOTA TINGGI – Dakwaan bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim bahawa kepimpinan Umno memandang rendah peranan wanita dibidas.
Bekas Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kewujudan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah satu bukti pelaburan Umno dalam menghargai kepentingan peranan wanita.
Azalina berkata, kementerian khas untuk wanita ditubuhkan bukan sahaja berdasarkan elemen ekonomi atau politik, tetapi turut melibatkan sentuhan sosial.
Menurutnya, sehingga hari ini ramai kalangan wanita di negara ini dinaikkan pangkat bukan sahaja dalam kementerian, tetapi dalam segala hal.
“Sepatutnya dia (Kamilia) tidak boleh kata macam tu. Sebagai bekas Ketua Puteri Umno, saya mahu membuat pengakuan bahawa Puteri ditubuhkan kerana Umno sedar perlunya saluran wanita Melayu muda yang boleh memainkan peranan dalam politik Melayu khasnya dan politik negara pada amnya," katanya.
"Saya sendiri merupakan satu-satunya wanita yang menjadi Ketua Umno Bahagian. Ini jelas Umno terbuka menerima kepimpinan sama ada lelaki atau perempuan asalkan kepimpinan itu dilihat sesuai dan mereka akan beri peluang.
“Isu jantina tak jadi kiraan, kalau dia (Kamilia) secara umum cakap tak cukup tempat bagi kaum wanita, bagi saya agak tidak adil.
"Jika kita bandingkan dengan negara Asia lain, wanita di Malaysia berada dalam keadaan selesa, tidak tersisir dan tersepit,” katanya kepada media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk di Felda Air Tawar 1.
Katanya, tidak semestinya mereka yang mempunyai jawatan dalam parti perlu mempunyai jawatan dalam kerajaan.
"Jika semua pihak hendak berpolitik semata-mata kerana jawatan, akan hancurlah Umno dalam jangka masa panjang.
“Ada ramai pemimpin kita yang begitu hebat tidak memilih jawatan, sebaliknya menjadikan komitmen terhadap parti sebagai keutamaan perjuangan.
"Kalau nak jawatan semata-mata, ramai orang boleh merajuk kerana tak dapat jawatan menteri dan sebagainya,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan