29 April 2013

Pemergian Isteri Tidak Patah Semangat Abdul Fattah Tanding DUN Bukit Panau

18 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Abdul Fattah Mahmood
KOTA BARU: Pemergian isteri tercinta kepada calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood tidak mematahkan semangat beliau untuk terus bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Isteri Abdul Fattah iaitu Datin Fahimah Mahmod, 49, meninggal dunia pada malam Ahad kerana menghidap penyakit barah paru-paru.
Abdul Fattah berkata, pemergian isteri beliau sebenarnya memberi kekuatan untuk terus berkempen pada pilihan raya umum kali ini bagi memastikan Kelantan kekal di bawah pemerintahan PAS dan usaha Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.
"Saya anggap ini (semangat untuk terus bertanding) adalah yang terbaik untuk kami (Abdul Fattah dan arwah isteri) dan tanggungjawab sebagai calon akan diteruskan selepas majlis tahlil pada malam ini.
"Saya akan turun padang bersama-sama rakyat untuk terus berkempen," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Banggol di sini, Isnin.
Abdul Fattah berkata, beliau nekad untuk terus mempertahankan kerusi DUN Bukit Panau yang disandangnya daripada pencabarnya, Baharudin Yusof yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU-13.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.35 malam Ahad di Hospital Pakar Perdana dekat sini.
Menurut Abdul Fattah, arwah isterinya mula tidak sedarkan diri sejak dua hari lalu selepas melakukan pembedahan.
"(Bagaimanapun) masalah penyakit berkenaan mula disedari awal Januari lalu tetapi ia sudah berada di tahap empat (serius).
"Alhamdulillah, allahyarham (isteri) reda apabila mengetahui dia menghidap penyakit barah," katanya.
Allahyarham disembahyangkan di Masjid Muhammadi dekat sini selepas solat Zohor dan dikebumikan pada pukul 2 petang.
mStar/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TAKZIAH....innalillahwainnahirajiun. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang soleh

Tanpa Nama berkata...

Takziah, tuan. Kita serupa iaitu isteri mengidap barah.Semoga beliau ditempatkan oleh Allah di tempat yg mulia.

mat berkata...

TERuskan perjuangan.....TAKBIR