29 April 2013

Israel lancar tiga serangan di Gaza

18 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
 

BAITULMUQADDIS – Tentera Israel melancarkan tiga serangan udara di Genting Gaza semalam dengan menyasarkan kumpulan Jihad Islam, kata beberapa saksi.

Bagaimanapun, saksi-saksi itu menyatakan, serangan tersebut tidak menyebabkan sebarang kematian dan kecederaan.

Dua daripada tiga serangan udara itu berlaku di bandar Khan Yunis dengan menyasarkan sayap kumpulan Jihad Islam, Briged Al-Quds.

Menurut saksi-saki tersebut, serangan ketiga berlaku di bandar Rafah yang terletak di sempadan Mesir.
Seorang jurucakap tentera Israel mengesahkan serangan itu di Gaza.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan maklumat lanjut berhubung serangan itu.
Kementerian Pertahanan Israel menyatakan, sebuah pusat kemasukan barang-barang di Kerem Shalom turut ditutup sehingga notis yang selanjutnya dikeluarkan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu mesyuarat Kabinet, Israel akan melancarkan tindak balas terhadap sebarang serangan roket dan peluru berpandu yang dilancarkan para pejuang Palestin.
“Saya mahu menjelaskan bahawa kami akan bertindak balas dengan cara yang amat melampau terhadap sebarang serangan roket atau peluru berpandu.

“Kami akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan penduduk Israel,” kata pejabat Netanyahu. 

Pada 19 April lalu, dua buah roket yang dilancarkan para pejuang Palestin mendarat di selatan Israel.
Namun, serangan itu tidak mendatangkan kemusnahan, kematian atau kecederaan. – AFP

Tiada ulasan: