29 April 2013

Umcedel pertahan kajian ‘Anwar lebih layak jadi PM’

18 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR 29 APRIL: Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mempertahankan keabsahan hasil kajian mereka yang terbaru berkaitan pilihan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ianya ekoran ada pihak yang mempertikai hasil kajian tersebut khususnya dari kalangan penganalisis politik dan termasuk juga dari pimpimpin Umno BN.
umcedel1Dalam satu kenyataan semalam, pihaknya berkata, kajian akademik tersebut dibuat dengan mematuhi standard dan tidak bias kepada mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Kajian yang kami jalankan mematuhi standard akademik dan dibiayai oleh universiti yang mempertahankan nilai intergriti, telus dan tidak memihak kepada mana-mana individu ataupun parti politik,” kenyataan mereka dipetik.

Pada 25 April lalu, Umcedel telah mengadakan sidang akhbar mendedahkan hasil kajian terbaru mereka berhubung pilihan pengundi menjelang PRU13.

Kajian terhadap 1,407 responden pelbagai kaum yang merupakan pengundi berdaftar itu dijalankan pada 3 April hingga 20 April lalu.

Antara lain kajian itu mendapati, 43 peratus responden berpendapat Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri berbanding Najib 39 peratus.
mani 2Selain itu, kajian tersebut juga mendapati rata-rata pengundi bersetuju bahawa manifesto Pakatan Rakyat lebih memenuhi harapan rakyat berbanding manifesto BN.

“Pandangan dan komen separuh masak yang tidak mempunyai nilai akademik tanpa melihat dengan lanjut kajian tersebut amat dikesali,” kata Umcedel lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas kajian itu semalam bagaimanapun menyifatkanya sebagai karut.

Najib berkata, beliau tidak setuju dengan kajian tersebut yang menunjukkan beliau berada empat mata di belakang Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. – Harakah Daily

Di bawah kenyataan penuh Umcedel:
Nota ini merujuk kepada pandangan beberapa orang penganalisis politik berkaitan dengan hasil kaji selidik yang telah dijalankan oleh Umcedel berkaitan pilihan pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13 yang disiarkan dalam www.sinarharian.com.my pada 27 April 2013.

Hasil kaji selidik ini telah dihebahkan semasa persidangan akhbar pada 25 April 2013 di Universiti Malaya yang telah dihadiri oleh pemberita dari dalam dan luar negara termasuk beberapa orang diplomat antarabangsa. Kesempatan juga telah diberikan kepada wartawan dan diplomat untuk mengemukakan persoalan dan meneliti lebih lanjut kajian yang kami jalankan.

Beberapa penjelasan kepada kajian tersebut:

1. Berlaku kekeliruan berkaitan istilah populasi dan sampel. Populasi merujuk kepada keseluruhan komponen sama ada jumlah penduduk negara atau jumlah pengundi.

Sementara sampel adalah sebahagian komponen yang akan mewakili keseluruhan populasi. Standard dan prosedur statistik yang menjadi amalan kajian di peringkat tempatan dan antarabangsa adalah mendapatkan sampel. Contoh yang paling mudah, doktor tidak perlu mendapatkan sebahagian besar atau kesemua darah pesakit untuk mengetahui penyakit, namun hanya cukup dengan setitik darah sahaja.

2. Pemilihan responden seramai 1,407 adalah mewakili keseluruhan komponen pengundi berdasarkan pecahan etnik, jantina, struktur umur, lokasi tempat tinggal, status pekerjaaan dan pendidikan.

Sampel yang dipilih adalah responden yang telah mendaftar sebagai pengundi dan pernah mengundi dalam pilihan raya. Jumlah sampel tersebut adalah standard sampel yang digunakan oleh badan penyelidik antarabangsa seperti MORI, YouGov dan Gallup.

Malah beberapa badan penyelidik akademik serantau seperti Election Study Center di National Chengchi Universiti di Taiwan, Lembaga Survey dan Lingkungan Survey di Indonesia juga mengggunakan jumlah sampel yang hampir sama. Metodologi yang digunakan dalam kajian adalah secara bersemuka menggunakan soalan yang berstruktur.

3. Umcedel adalah badan penyelidikan akademik yang bernaung di bawah Kluster Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Malaya yang dianggotai oleh ahli akademik tempatan dan antarabangsa. Kepakaran ahli Umcedel termasuk dalam bidang statistik, sains politik, politik antarabangsa, sistem maklumat geografi, sejarah dan geografi pilihan raya.

Kajian yang kami jalankan mematuhi standard akademik dan dibiayai oleh universiti yang mempertahankan nilai intergriti, telus dan tidak memihak kepada mana-mana individu ataupun parti politik.

4. Masyarakat juga tentunya menantikan kajian daripada penganalisis-penganalisis politik yang terlibat secara langsung di lapangan untuk mendapatkan gambaran sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi dan bukannya bergantung kepada pemerhatian politik melalui media semata-semata.

5. Pihak yang berminat boleh melayari laman sesawang www.umcedel.um.edu.my untuk mendapatkan butiran lanjut kajian tersebut dan beberapa kajian yang telah kami jalankan. Pihak kami juga bersedia berdiskusi dengan mana-mana individu dan pertubuhan yang mahu meneliti lebih lanjut kajian kami. Pandangan dan komen separuh masak yang tidak mempunyai nilai akademik tanpa melihat dengan lanjut kajian tersebut amat dikesali.

keadilandaily/-

Tiada ulasan: