29 April 2013

Hanim: Dari Pengerusi PIBG ke calon PAS

18 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SERI SERDANG: Sokongan positif dari semua kaum sepanjang minggu pertama kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), menaikkan semangat calon PAS N29 Seri Serdang, Noor Hanim Ismail untuk meneruskan kempen pada minggu kedua.

Selesai proses penamaan calon pada 20 April lalu, Noor Hanim, 51 bersama pasukan kerjanya memulakan kempen dengan menyantuni pengundi-pengundi pada siang hari dan program ceramah pada malam hari.

Pengalaman lebih lima tahun sebagai aktivis masyarakat termasuk pernah menjadi Yang Di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana membuatkan Noor Hanim dikenali oleh majoriti pengundi di kawasan tersebut.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Noor Hanim merupakan calon popular PAS di Seri Serdang kerana penglibatannya dalam program dakwah dan kemasyarakatan.

Meskipun mengakui perkara ini merupakan satu kelebihan bagi PAS, Noor Hanim bagaimanapun tidak sesekali menganggap beliau berada di kedudukan yang selesa.

Sebaliknya, ibu kepada lima anak itu tidak mensia-siakan tempoh berkempen dengan mendekati dan memenangi hati pengundi agar memilih PAS dan Pakatan Rakyat.

Hubungan beliau dengan kaum Cina dan India juga sudah lama terjalin melalui penglibatannya dalam Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) peringkat Negeri Selangor dan kawasan Puchong.

"Respons pengundi di Dun Seri Serdang ini sangat positif terutama dari kaum Cina yang memberi sokongan seratus peratus, di luar jangkaan termasuk kaum India.

"Petugas India yang dari MIC masuk menyokong Dewan Himpunan Penyokong PAS dan ini yang mengagumkan saya dan orang India secara sukarela datang minta buka bilik gerakan khas untuk orang India terutama di Puchong Perdana," katanya sewaktu ditemui di majlis minum petang bersama penduduk yag turut dihadiri calon DAP Parlimen Puchong Gobind Singh Deo di bilik gerakan Bandar Kinrara (BK) 9 petang semalam.

Program anjuran Persatuan Penduduk Taman Perumahan Sinar BK 9 itu dihadiri kira-kira 100 penduduk majoritinya pengundi Cina.

Pengalaman mengadakan pelbagai program dengan penduduk setempat membuatkan Noor Hanim tidak kekok apabila berhadapan dengan pengundi dan memberi penenrangan tentang manifesto PAS dan Pakatan Rakyat khususnya mengenai tawaran Pakatan Rakyat Selangor.

"Jawatan saya dalam LPN memudahkan perhubungan antara saya dengan mereka sebab LPN sudah banyak mengadakan program mendekati kaum Cina dan India.

"Sebelum ini kita anjurkan terutama dengan orang Cina, setiap Tahun Baru Cina PAS akan turun ke pasar edar kad dan limau. Jadi tidaklah saya berasa kekok berhadapan dengan pengundi-pengundi di saat pilihan raya sebab PAS dah buat kerja dari awal.

"Bila saya diumumkan sebagai calon mereka cukup gembira dan sambutan orang-orang Cina dan orang India begitu juga kawan-kawan sangat baik dan meningkatkan semangat saya," katanya.


Cabaran


Menyentuh mengenai cabaran ketika berkempen, Noor Hanim bersyukur kerana tiada sebarang politik ganas digunakan oleh mana-mana pihak sebaliknya kesemua parti mengamalkan politik matang dan saling menghormati.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan mendapat undi dari jentera Umno dan BN berdasarkan respons mereka sewaktu berkempen.

"Cara berkempen tak jauh beza dengan kawasan lain, saya di sini calon pilihan kawasan jadi setiap lapisan jentera membantu dari sudut muslimat, pemuda peringkat kawasan, DAP, PKR amat membantu. DAP, PKR sendiri mengadakan hi tea di peringkat mereka semata-mata bagi berkempen untuk calon dan Alhamdulilah tak ada apa-apa sabotaj, dengki atau sebagainya.

"Provokasi di Dun Serdang ini tak ada, mereka memberi impak yang baik mahupun dari BN dan kita juga dapat tembus ke bilik gerakan BN, kita masuk dan memberi saranan yang baik dan ucap terima kasih kepada mereka kerana beri sokongan kepada Pakatan. Kita tak boleh kata mereka pakai baju lambang dacing mereka akan undi BN sebab kadang-kadang ada yang pakai baju dacing tapi undi Pakatan.

"Ada Wanita Umno datang jumpa saya dan berjanji akan undi saya sebab mereka memang kenal saya dari awal. Jadi ini satu petanda yang baik dari BN terutamanya Umno. Begitu juga ahli ada ahli MCA di sini menyatakan akan undi Pakatan. Ini yang anehnya pru13 ini, berbeza dengan PRU yang lepas," ceritanya.

Selepas menyantuni pengundi di majlis minum petang, Noor Hanim bergerak ke Pasar Malam BK3 bagi bertemu peniaga dan pengunjung pasar malam di sana.

Rata-rata peniaga dan beberapa pengunjung khususnya kaum wanita memang mengenali beliau dan ada peniaga yang berkata 'Ini kalilah' sebaik melihat beliau.

Berharap beliau dapat memenangi PRU13 pada 5 Mei nanti, Noor Hanim menyeru semua jentera membuat pecutan terakhir mendekati pengundi dan menyeru pengundi agar membuat pilihan yang tepat demi mengubah negara ke arah yang lebih baik.

"Tempoh berbaki ini, saya dan jentera kempen akan terus berjuang dan saya seru semua petugas yang menunjukkan semangat tinggi sebelum in meneruskan semangat hingga hari terakhir.

"Sebagai calon memang saya mengharapkan setiap pengundi itu membuat pilihan yang tepat supaya kita dapat berubah dan setiap perubahan akan mencorakkan pentadbiran negara terutama Pakatan Rakyat akan mengekalkan kemenangan di Selangor," katanya yakin.

Noor Hanim melawan calon BN Mohamad Yusof Mohamed Yassin.

Pada PRU12, calon PAS  Ahmad Idzam Ahmad hanya kalah kepada calon BN Mohamad Satim Diman dengan majoriti 45 undi.

Tiada ulasan: