03 Mei 2013

Ayuh wanita, undi anda penentu masa depan negara

wanita-keadilan
22 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR 3 MEI: Calon Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh menyeru golongan wanita keluar

mengundi Ahad ini dan tentukan pemimpin yang boleh membawa perubahan masa depan anak-anak supaya mereka membesar dengan selamat serta mendapat pendidikan yang terbela.

“Sebagai ibu, soal keselamatan anak-anak antara yang merisaukan. Kalau mereka ke sekolah, kita risau memikirkan ancaman jenayah terhadap mereka seperti diculik.
“Masa depan mereka juga kabur kerana setiap bayi yang lahir terpaksa menanggung hutang negara melebihi RM17,000 setiap seorang. Kita tidak mahu situasi ini berterusan.
“Golongan ibu wajib memilih sebuah kerajaan yang mampu membela rakyat dan bukannya sekadar memberikan bantuan apabila nyawa politik hampir luput,” ujar calon Parlimen Kuantan itu.
Fuziah yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, generasi muda juga wajib memilih sebuah kerajaan yang mampu menurunkan harga kenderaan dan menghapuskan hutang pendidikan sekiranya mahu kehidupan yang bebas hutang.
“Saya menyeru semua pengundi supaya memahami bahawa undi itu adalah amanah dan sesiapa sahaja yang kita undi akan memberikan kesan kepada masa depan generasi sekarang.
“Kurang dua hari lagi untuk kita merenung dan memilih untuk mengundi sebuah pakatan politik yang berupaya memberikan kesejahteraan kepada negara.
“Jadi ayuhlah golongan wanita, rebutlah peluang ini untuk kita ubah masa depan negara, kerana undi anda amat berharga,” kata Fuziah.

keadilandaily/-

Tiada ulasan: