03 Mei 2013

Calon Pakatan jumpa kilang cetak risalah haram

22 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Gan, Zaidi dan William menunjukkan contoh risalah haram yang dicetak oleh kilang tidak bernama di Selayang)

SELAYANG: Pakatan Rakyat Selayang mengesan sebuah kilang yang beroperasi mencetak risalah propaganda menggunakan nama PAS, PKR dan DAP.

Kandungan risalah tersebut menggambarkan jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, agama Islam tidak lagi menjadi agama rasmi, sistem beraja dimansuhkan, kalimah Allah boleh digunakan oleh semua agama, hak keistimewaan Melayu dihapuskan, agensi-agensi Mara, Felda, Felcra dan Risda dimansuhkan dan askar Melayu serta Polis DiRaja Malaysia dibubarkan.

Selain itu terdapat juga risalah yang bertulis 'Sanggupkah anda menggadai kalimah Allah' didapati sedang dicetak di kilang yang tidak mempunyai papan tanda di luarnya itu, beralamat di No 26, Jalan SU 26 Selayang Utama.

Menurut Yang Dipertua PAS Selayang Zaidi Talib yang juga calon PAS N15 Taman Templer, operasi kilang tersebut disedari secara tidak sengaja oleh pihaknya sewaktu berkempen bertemu pengundi petang semalam.

Rombongan Zaidi dan seorang lagi calon PKR ke kilang tersebut kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Sewaktu tiba di kawasan kilang, pihaknya melihat sebuah kereta Proton Wira berlambang dacing dengan dua orang pemuda di dalamnya.

Tanpa mengesyaki apa-apa, rombongannya masuk ke kilang dan bersalam-salaman dengan para pekerja.

Sewaktu mahu keluar dari kilang, Zaidi menyedari terdapatnya lambakan risalah dengan lambang PAS, PKR dan DAP.

Mula mengesyaki sesuatu, mereka meneliti risalah-risalah tersebut.

"Selepas kami melihat risalah-risalah itu, ternyata itu risalah propaganda menggunakan nama Pakatan Rakyat bertujuan menakutkan orang Melayu," katanya pada sidang media di Pejabat PAS Kawasan Selayang bersama calon PKR N14 Rawang Gan Pei Nei dan calon PKR P97 Selayang william Leong.

Zaidi berkata, kereta yang dilihat mereka sebelum itu terus hilang selepas mereka menyedari kewujudan risalah-risalah tersebut.

Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Selayang jam 5.20 petang semalam.

"Polis dan Pemantau SPR datang ke kilang dan rampas risalah-risalah tersebut.

"Kami harap siasatan segera dilakukan siapa yang mengarahkan kilang ini mencetak risalah sebegini berdasarkan bukti-bukti yang kami nyatakan.

"Ada sebahagian risalah yang sudah diedar di sekitar Selangor dan ada sebahagian yang akan diedarkan hari-hari terakhir kempen," katanya.

Sementara itu, Gan Pei Nie berkata, beliau diberitahu jentera PKR bahawa risalah tersebut ditemui di sekitar kawasan Rawang.

"Mereka jumpa risalah ini banyak di atas jalan dan saya minta kepada sesiapa yang jumpa risalah ini terus bawa ke balai polis dan buat laporan," katanya sambil menunjukkan satu plastik risalah yang dikumpul.

William pula kesal dengan sikap pihak tertentu yang mengeluarkan risalah atas nama DAP, kononnya parti itu kesal dengan kegagalan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyelesaikan krisis air di negeri itu.

"Risalah ini ditulis untuk mengelirukan rakyat dan berniat menimbulkan kebencian antara kaum.

"Saya minta polis menyiasat perkara ini dan rakyat kena tolak kempen politik begini," katanya.


harakahdaily/-

Tiada ulasan: