03 Mei 2013

Dua remaja maut nahas

22 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

ZAMRI

ZAMRI
KUALA TERENGGANU - Dua remaja maut apabila motosikal ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam satu kemalangan di lebuh raya Jeram- Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian jam 7 malam itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa, 18, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motosikal seorang lagi mangsa, 19, dari arah bertentangan.

“Sebelum kejadian, mangsa yang tinggal di Kampung Jeram, Manir, dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya ke kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram menggunakan laluan lebuh raya baru ini.

“Tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal Honda Ex5 dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa kedua, dari arah bertentangan,” katanya.

Menurut Zamri, mangsa kedua dipercayai turut menggunakan laluan sama memandangkan hanya satu lorong dibuka kerana lebuh raya itu masih dalam pembinaan dan belum siap sepenuhnya.

Jelasnya, akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa cedera parah di kepala dan anggota badan.

“Kita percaya kedua-duanya menunggang laju dan akibat rempuhan kuat itu menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah,” katanya.

Mangsa pertama maut di tempat kejadian manakala mangsa kedua disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kira-kira jam 10.15 malam.

Sinar/-

Tiada ulasan: