22 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: "Hari ni people vs Umno Barisan Nasional (BN)," demikian reaksi spontan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika diminta mengulas tentang "tsunami dari Johor" yang kini melanda seluruh negara.
"Hari ni sudah sudah sampai ke tahap yang tak pernah kita bayangkan sebelum ini.
"Hari ni bukan lagi Pakatan Rakyat mencabar cengkaman kuasa BN.
"Hari ni people vs Umno BN. Rakyat sendiri yang berlawan dengan Umno BN!" kata calon PAS bagi Parlimen Pulai itu.
Salahuddin berkata, ribuan rakyat yang hadir sehingga ada yang mencecah jumlah puluhan ribu membuktikan satu tahap semangat.
"Tahap semangat itulah yang menyatakan dengan jelas kepada kita bahawa apa yang berlaku kini adalah people vs Umno BN," katanya.
Ketika di tanya apakah yang menyebabkan beliau begitu bersyukur sepanjang kempen beliau, Salahuddin terus berkata: "Peningkatan sokongan pengundi Melayu yang tidak disangka-sangka setelah sokongan pengundi Cina menjadi gelombang raksaksa yang luar biasa hebat."
Beliau memberitahu, ramai orang kuat Umno di peringkat akar umbi di Pulai dan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya yang turut ditandinginya yang sebelum ini langsung tidak boleh didekati kini menjadi penyokong PAS malah ada yang menjadikan rumah mereka sebagai pusat operasi kempen PAS.
"Kita juga menerima sokongan dari penduduk-penduduk di kawasan setinggan. Malah banyak perkara tidak disangka yang berlaku yang kesemuanya saya sifatkan sebagai pertolongan Allah," kata beliau.
Salahuddin juga yakin kesedaran semakin ramai pengundi Melayu tidak boleh dibendung lagi oleh pelbagai risalah perkauman yang diedarkan bagi membantu BN menghadapi arus kebangkitan rakyat kini.
"Saya mengajak para pengundi Melayu supaya menyedari bahawa kita di dalam Pakatan hendak membebaskan mereka dari penipuan Umno yang hanya memperdayakan orang-orang Melayu dengan api perkauman, sentimen dan emosi," katanya.
PAS, kata Salahuddin, hendak membawa orang-orang Melayu kepada era baru di bawah Pakatan di mana peruntukan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang menjamin kedudukan orang-orang Melayu akan diolah untuk menggerakkan usaha pemantapan pendidikan besar-besaran yang berteraskan usaha meningkat dan mengukuhkan pegangan mereka kepada agama Islam.
"Kita hendak mengajak Melayu berpindah dari politik hasutan perkauman yang ditaja oleh Umno kepada politik membina kualiti bangsa Melayu berasaskan pendidikan dan keimanan kepada Allah.
"Kita mengemukakan janji yang realistik iaitu pemantapan pendidikan dan keimanan yang menjadi senjata terbaik orang-orang Melayu.
"Kita tidak janjikan ekuiti yang tidak pernah pun dapat dicapai, kita tidak janjikan angan-angan tidak kesampaian," tegas beliau.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan