6 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Setiap kali musim perayaan, rakyat pasti menghadapi masalah kenaikan harga barang-barang keperluan harian. Semua barang menaik harganya. Antara yang tidak pernah terlepas dari mengalami kenaikan harga setiap kali musim perayaan ialah ayam. Meskipun menteri silih berganti tetapi harga ayam tidak pernah dapat diselesaikan seolah-olah peniaga ayam lebih cerdik daripada menteri.
Tahun ini harga ayam naik lagi. Di sesetengah tempat ia mencecah sehingga RM9.00 sekilo. Bagaimanapun bagi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hassan Malek, beliau mempunyai cara yang amat mudah untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam ini iaitu dengan mencadangkan supaya rakyat beralih kepada menu lain seperti ikan atau daging bagi mengekang kenaikan harga itu.Orang Kuala Pilah di mana Hassan Malek menjadi Ahli Parlimen tentunya menjerit membaca berita ini. Gilo apo montori ni...
Nampaknya senang sangat kerja menteri di Malaysia, bila ayam naik disuruhnya makan menu lain walaupun sepatutnya tugas beliau beliau mencari jalan menstabilkan harga ayam di pasaran. Berbagai cara boleh dilakukan seperti menemui pengeluar atau penternak, menambah bekalan melalui pengimportan, melakukan tindakan penguatkuasaan dan seumpamanya. Tetapi semua itu tidak dilakukan, yang disuruhnya rakyat tukar menu makanan.
Lagi pula tindakan beliau memberi pilihan supaya makan ikan atau daging itu juga tidak logik sama-sekali kerana harga ikan sebenarnya lebih mahal daripada ayam. Ikan yang paling biasa menjadi menu rakyat Malaysia iaitu ikan kembung saja sudah berharga RM12.00 hingga RM15.00 sekilo. Belum lagi dikira ikan lain seperti ikan siakap, bawal atau tenggiri yang menjadi santapan orang-orang yang lebih berada.
Nampaknya menteri ini tidak pernah ambil tahu harga pasaran barangan pengguna di pasaran atau barang kali tidak pernah turun ke pasar sebelumi ini. Beliau seperti bercakap ikut sedap mulut saja bila jumpa mikrofon atau kamera tv.
Selain itu, jika ayam mahu ditukar dengan daging pula, kedua-duanya mempunyai khasiat yang berbeza dan dari sudut kesihatan pula, daging putih lebih baik berbanding daging merah. Sebab itulah ayam lebih menjadi pilihan, selain rasanya yang lebih sedap dan kanak-kanak juga lebih menyukai ayam berbanding daging atau ikan.
Sebab itulah ayam menjadi pilihan semua golongan dan bangsa. Dan tugas menteri yang gajinya dibayar melalui cukai rakyat ialah mesti memastikan harga pasaran keperluan rakyat ini sentiasa berada di paras yang stabil dan tidak terlalu membebankan, bukannya mencadangkan rakyat menukar menu makanan.
Kenaikan ayam di musim perayaan orang Islam juga, selain ia menjadi pilihan semua peringkat umur untuk berbuka puasa, ia juga sesuai dibuat rendang ketika Hari Raya untuk dimakan dengan lemang atau ketupat. Walaupun daging boleh juga dibuat rendang tetapi ayam lebih menjadi pilihan kerana ia lebih enak.
Tetapi ikan tidak boleh dibuat rendang. Sudahlah harganya lebih mahal daripada ayam, penggunaannya untuk masakan juga agak terhad. Mungkin jamuan raya Hassan Malek pada tahun ini ada menu rendang Negeri Sembilan ikan kembung agaknya!
Kenyataan Hassan Malek mengenai kenaikan harga ayam ini mendapat ulasan paling banyak di laman-laman sosial di mana rata-rata rakyat tidak setuju dengan pandangan yang diberinya. Memang sesiapa pun akan geleng kepala membaca keyataan separuh masak menteri itu. Beliau bercakap seolah-olah tidak tahu apa-apa mengenai kedudukan harga barang keperluan harian di pasaran sekarang.
Selain itu, ramai juga yang mengecam beliau seolah-olah begitu senang kerja seorang menteri di negara ini. Harga ayam naik disuruh makan ikan atau daging, nanti kalau semua ayam, ikan dan daging naik, disuruhnya pula makan lauk kicap saja. Atau kalau beras naik, mungkin disarankannya makan bubur nasi atau mee maggi saja.
Kenyataan Hassan Malek ini mendedahkan standard beliau sebagai menteri hanya cap ayam saja. Jika begitu senanglah kerja seorang menteri, pastinya lebih ramai daripada 3.2 juta ahli UMNO yang jauh lebih layak daripada beliau.
Sebelum ini seorang lagi menteri, Shahidan Kassim juga memberi jawapan ala-ala cap ayam mengenai kerahsiaan pembekal dakwat kekal untuk SPR. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, nama pembekal itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana jika diketahui nama dan alamat pembekalnya akan menyebabkan rakyat beratur panjang untuk membeli dakwat itu dan akhirnya akan mengganggu perjalanan pilihanraya di negara ini.
Kalau dihalusi, kenyataan itu bukan saja tidak logik, bahkan juga menunjukkan Shahidan tidak kurang cap ayamnya dengan Hassan Malek.
Tolongnya Najib, berilah panduan dan nasihat kepada menteri-menteri agar janganlah mengeluarkan kenyataan atau bercakap seolah-olah mereka itu cap ayam, nanti Perdana Menteri atau kerajaan pun dikata rakyat cap ayam juga. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan