6 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Isnin
menetapkan tarikh untuk mendengar bantahan awal oleh pempetisyen dan
responden terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan bagi tiga
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Hakim Pilihan Raya Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan 25 Julai
sebagai tarikh untuk mendengar bantahan awal bagi kawasan DUN Manjoi
dan 29 Julai bagi kawasan DUN Manong serta DUN Pasir Panjang.
Abang Iskandar menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas berjumpa
dengan peguam yang mewakili semua pihak terbabit dan peguam kanan
persekutuan yang mewakili pegawai pilihan raya (RO) bagi setiap kawasan
dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketika ditemui pemberita, peguam yang mewakili Barisan Nasional (BN)
Badrul Hishah Abdul Wahab berkata Hakim turut menetapkan 17 dan 18
Julai ini untuk responden dan pempetisyen memfailkan hujahan bertulis.
Peguam Kanan Persekutuan Muhamad Anas Mahadzir dan peguam mewakili PAS Aminuddin Zulkifli turut hadir di kamar Hakim pada Isnin.
Pada Jun lepas, calon PAS pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13)
memfailkan petisyen untuk mengisytiharkan tidak sah dan membatalkan
keputusan pilihan raya umum bagi DUN Manjoi, DUN Manong dan DUN Pasir
Panjang.
Pada PRU13, calon PAS Asmuni Awi kalah kepada calon BN Mohamad Ziad
Mohamed Zainal Abidin dengan majoriti 132 undi di DUN Manjoi.
Bagi DUN Pasir Panjang, calon BN Rashidi Ibrahim menewaskan calon
PAS Rohawati Abidin dan calon Bebas S.Vijayan dengan majoriti 304 undi
manakala Mohamad Kamil Shafie daripada BN menang kerusi DUN Manong
apabila mendapat majoriti 231 undi sekali gus mengalahkan calon PAS
Jamil Dzulkarnain.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan