15 Julai 2013

Larang takzirah: PAS Perak kecewa dengan mufti

6 Ramadhan 1434 H. [MOD] - 


IPOH: PAS Perak melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melarang masjid dan surau mengadakan tazkirah di sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir Masduki (gambar) berkata, tazkirah di bulan yang mulia ini adalah satu langkah baik dan bijak oleh kerana bilangan kehadiran umat Islam sangat tinggi.

Menurutnya, kita sepatutnya mengambil peluang terbaik ini untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan ianya mungkin menjadi permulaan untuk rakyat meminati dan cinta akan majlis ilmu.
“PAS Perak sangat tidak bersetuju dengan larangan daripada mufti ini kerana ianya akan merugikan peluang yang Allah berikan pada bulan yang mulia ini.

“Majlis ilmu pada bulan-bulan lain kurang sambutan, jadi apa salahnya di saat kehadiran masyarakat di bulan ini agak ramai, kita gunakan peluang yang terbaik ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau menjelaskan, tazkirah ini adalah pengganti kepada kuliah-kuliah termasuklah kuliah Maghrib yang dihentikan di sepanjang bulan Ramadhan.

Dalam keadaan ini, Misbahul berkata, PAS Perak menyarankan Pejabat Mufti mahupun Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengeluarkan garis panduan termasuklah teks tazkirah untuk dibaca oleh penyampai tazkirah.

Ujar misbah, buku tebal yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menjadi bahan tazkirah oleh para imam juga baik digunakan ketika ini.

“Diharap mufti menarik balik larangan tazkirah yang semakin diminati oleh masyarakat dan yang tidak suka mendengar tazkirah ini hanyalah segelintir yang sememangnya tidak suka kepada majlis ilmu.

“Kalau nak dikira bid'ah sekali pun, ia masih lagi bid'ah hasanah sebagaimana amalan-amalan bidaah yang lain.

“Janganlah hanya kerana segelintir yang tidak suka tazkirah, amalan yang baik ini diharamkan,” jelasnya lagi.

Tegasnya, sebagai mufti, Harussani sepatutnya menggalakkan amalan baik ini dan berterima kasih kepada penganjur serta pemberi tazkirah kerana mereka sebenarnya telah membantu menghidupkan Ihya' Ramadhan dan mengembangkan syiar dakwah.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wahai saudaraku, tlg baca surat tu betul-betul, surat itu bukannya laranga untuk mengadakan tazkirah hanya menceritakan kenapa solat tarawih di tuntut sangat untuk di laksanakan, tazkirah boleh di adakan, hanya dicadangkan dilaksanakan selepas solat tarawih. jabatan mufti ambil pandangan daripada kitab yang muktabar, klu tak pandai baca kitab arab, tolong-tolong baca yg org dah terjemahkan.