KAHERAH 14 Julai - Pasukan penyiasat mula menyoal siasat Presiden
Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi dan ahli kumpulan Ikhwanul
Muslimin, hari ini berhubung dakwaan mereka terlibat dalam kejadian
banduan melarikan diri dari penjara pada 2011.
Siasatan itu dilakukan berikutan dakwaan bahawa Mursi dan ahli-ahli
Ikhwanul Muslimin melarikan diri dari penjara Wadi Natrun semasa
kebangkitan yang menamatkan pentadbiran bekas Presiden, Hosni Mubarak.
Menurut sumber kehakiman, penyiasat keselamatan negeri menyoal siasat Mursi di satu lokasi yang tidak didedahkan.
Siasatan itu dilakukan beberapa jam selepas pendakwa raya menerima
aduan terhadap Mursi dan anggota lain Ikhwanul Muslimin yang mendakwa
mereka mengintip dan menghasut melakukan keganasan.
Namun, Pejabat Pendakwa Raya tidak mendedahkan siapa yang mengemukakan aduan berkenaan.
Sepanjang pentadbiran Mursi selama setahun, beliau dituduh
mengukuhkan kuasa Ikhwanul Muslimin, memburukkan ekonomi negara dan
gagal melindungi penduduk minoriti.
Mursi yang merupakan Presiden Mesir pertama dipilih melalui pilihan
raya tidak dilihat sejak digulingkan dan pemimpin sementara negara ini
menyatakan beliau kini ditahan di satu tempat selamat demi
keselamatannya.
Mursi digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu.
Penyokong Mursi menuduh tentera melanggar prinsip demokrasi dengan
menggulingkan seorang pemimpin yang dipilih rakyat dan mereka berikrar
akan terus berjuang bagi mengembalikan kuasa beliau.
Sementara itu, rundingan bagi membentuk Kabinet sementara Mesir oleh Perdana Menteri, Hazem al-Beblawi diteruskan, hari ini.
Barisan Kabinet sementara itu dijangka diumumkan pada minggu depan
selepas rundingan dengan calon-calon diadakan semalam oleh Hazem dan
Naib Presiden, Mohamed ElBaradei.
Hazem berkata, beliau menjangka Kabinet sementara itu akan diwakili 30 kementerian.
"Keutamaan mereka adalah untuk mengembalikan keselamatan, memastikan
penyediaan barangan dan perkhidmatan, selain bersedia untuk mengadakan
pilihan raya Parlimen dan Presiden," katanya. - AFP/AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan