12 September 2013

Kudeta Mesir larang ulama berkhutbah di masjid

6 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,
MESIR: Kerajaan kudeta Mesir mengeluarkan larangan baru terhadap pendakwah bebas dan ulama yang disebut "tidak berlesen" dari menyampaikan khutbah atau mengajar di masjid di negara itu.

Menteri Wakaf Mohamed Mokhtar Gomaa berkata, seramai lebih 55,000 ulamak akan dihalang dari menyampaikan dakwah mereka di masjid-masjid sebagai tindakan terbaru mengekang kebangkitan penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi.

Menurutnya, ulama tidak berlesen dianggap ahli fundamentalis serta menjadi satu ancaman kepada keselamatan Mesir.

Reuters menyebut larangan itu menyasarkan masjid-masjid kecil yang tidak berlesen atau kawasan sembahyang secara rambang. Idea ini adalah untuk menyebarkan mesej tentang Islam secara sederhana dan menjauhkan orang Mesir dari idea radikal.

"Keputusan ini adalah supaya proses dakwah hanya dibolehkan semasa sembahyang Jumat berjemaah dan hanya mereka yang berkuasa sahaja boleh melakukannya," kata Gomaa.

Sejak rampasan kuasa 3 Julai lalu, pelbagai tekanan dikenakan terhadap kumpulan ulama yang dilihat cenderung menyokong Morsi dan membantah tindakan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang diketuai Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi.

Pihak berkuasa menjadikan ulama, pemimpin Ikhwan serta aktivis Islam sebagai sasaran dalam usaha mengekang penentangan terhadap rampasan kuasa.

Lebih daripada 2,000 aktivis-aktivis Islam telah ditahan dan kebanyakan pemimpin daripada Ikhwan Muslimin, termasuk Mursi, dipenjarakan atas dakwaan menghasut atau mengambil bahagian dalam keganasan.

Pihak berkuasa pimpinan tentera menuduh Ikhwan Muslimin sebagai satu kumpulan pengganas dan perbincangan sedang dijalankan mengenai kemungkinan mengharamkannya.

No comments: