12 September 2013

Penstrukturan semula air S'gor hujung tahun ini - MB


6 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Selangorku,
SHAH ALAM: Penyusunan semula industri air di Selangor akan diselesaikan sebelum 31 Disember tahun ini setelah Kerajaan Negeri mendapat pengesahan daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan berkenaan dimaklumkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam satu surat bertarikh 9 September lalu.

Dalam surat itu, Menteri KeTTHA Datuk Seri Maximus Ongkili menyatakan bahawa Kementerian sudah mempertimbangkan semua hujah dan fakta yang dikemukakan Kerajaan Negeri dan yakin ia mampu diselesaikan.

“Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri terlibat yang secara peribadi memberi komitmen bagi memastikan pengurusan air diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia) 2006.

“Kita mengulangi kesediaan untuk mengambil alih operasi air secepat mungkin memandangkan penyelesaian isu ini semakin hampir dicapai,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Surat itu juga menyatakan pihak Kementerian akan mengadakan perjumpaan bersama pemilik saham syarikat konsesi selewat-lewatnya minggu depan untuk berbincang mengenai proses dan tatacara penyusunan semula air yang akan dilaksanakan.

“Kita (Kerajaan Pusat dan negeri) mempunyai sasaran sama untuk menyelesaikan perkara ini demi penyusunan semula industri air di negeri Selangor,” katanya lagi.

Turut dimaklumkan, pemberian air percuma akan diteruskan dalam tempoh beberapa tahun lagi seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) Selangor sekiranya penyusunan industri air dapat diselesaikan.

Tiada ulasan: