12 September 2013

Projek IC: Jangan mangsakan pegawai kerajaan

6 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan menuding jari dan menyalahkan pegawai kerajaan dalam isu pemberian kerakyatan kepada pendatang asing Sabah adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar.

AJK PAS Pusat Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, kakitangan kerajaan hanyalah menjalankan tugas mengikut dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan adalah mustahil untuk mereka melangkaui dasar tersebut kecuali mendapat arahan dari pihak tertentu.

"Bagi saya mustahil untuk mereka memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing apatah lagi melibatkan jumlah yang ramai, mereka hanya menjalankan tugas mengikut dasar yang ditetapkan melainkan ada arahan pihak atasan.

"Kita tidak mahu mereka sentiasa menjadi kambing hitam setiap kali berlaku perkara yang menyalahi undang-undang," jelas Ahli Parlimen Kuala Krai itu kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing Sabah semalam.

Tun Mahathir ketika memberi keterangan mendakwa “pegawai kerajaan” yang memberikan kerakyatan dan mengeluarkan kad pengenalan kepada calon tidak layak dan amalan seperti itu bukan satu dasar kerajaan semasa beliau menjadi perdana menteri.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, kenyataan Tun Mahathir itu seperti mahu berlepas diri dan kakitangan kerajaan wajar untuk menyatakan bantahan.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin turut membidas kenyataan bekas Perdana Menteri itu dengan menyifatkan ia adalah satu pembohongan.

Beliau berkata, adalah terlalu sukar untuk kakitangan kerajaan mengeluarkan kad pengenalan dan memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.

Dalam pada itu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan memberi keterangan pada 19 September nanti.
harakahdaily.net

Tiada ulasan: