12 September 2013

Khutbah Jumaat : Bersungguh-sungguh dan berhati-hati hadapi cabaran.

6 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (التوبة :32)  
Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian).


أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ  وَاَصْحَابِهِ  وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ،
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !   اِتَّقُواْ  اللَّهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai Hamba-Hamba Allah Sekelian!
Marilah kita mencari jalan bahagia dengan kita memilih jalan  yang menuju kepada keredhaan Allah sebelum kita dipaksa bertemu dengan Allah dalam keadaan Allah murka kepada kita. Berkata al Syahid Syed Qutb Rahimahullah Taala :
اَلْكُلُّ سَيَذْهَبُ اِلَى اللهِ بَعْدَ وَفَاتِهِ * لَكِنِ السَّعيِدُ ذَهَبَ اِلَى اللهِ فِى حَيَاتِهِ
Semua orang akan kembali kepada Allah selepas kematiannya,
Tetapi orang yang bahagia telah dan tetap pergi kepada Allah semasa hidupnya lagi.

          Janganlah berterus-terusan diri kita, keluarga kita, masyarakat kita berada dalam zon kelalaian kerana Imam al Syafie r.a pernah mengungkap:
Berapa ramai manusia yang masih hidup dalam kelalaian
sedangkan kain kafannya sedang ditenun.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
          Mari kita sama–sama mengukur diri masing masing sekuat mana kita mempunyai daya ketaqwaan  diri masing-masing. Mari kita perbaiki diri kita dengan kita menganalisa dialog antara Saidina Umar r.a dan Saidina Ubay bin Ka’ab mengenai hakikat taqwa menerusi analogi yang sangat baik dan mudah difahami. Mari kita ukur diri kita masing-masing samada kita sudah mencapai matlamat TAQWA berdasarkan piawai yg telah digagaskan oleh Saidina Umar al Khattab :
وَسَأَلَ عُمَرُ بن الخَطَّابِ رَضِيَ الله عَنْهُ أُبَيّاً عَنِ التَّقْوَى، فَقَالَ : هَلْ أَخَذْتَ طَرِيقًا ذَا شَوكٍ ؟ قَالَ : نَعَم : قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فيِه ؟ قاَلَ : تَشَمَّرْتُ وَحَذَرْتُ، قَالَ : فَذاَكَ التَّقْوَى
Saidina Umar al Khattab r.a bertanya kepada Saidina Ubai bin Ka’ab mengenai taqwa. Maka Kaab  bertanya kepada Saidina Umar al Khattab r.a : Pernahkah tuan melalui sebatang jalan yang penuh dengan duri? Ya jawab Umar . Ubay bertanya lagi : Apa tindakan tuan ketika itu? Saidina Umar menjawab : aku bersedia dengan bersungguh-sungguh dan berhati-hati.

Taqwa akan menyelamatkan diri dan umat dari terjerumus ke kancah dosa dan kemaksiatan yang akhirnya akan memusnahkan kehidupan di dunia dan di akhirat. Ia dapat dilakukan dengan gabungan dua sifat seperti di dalam dialog di atas ; iaitu  (التَشَمُّرُ)  persediaan yang bersungguh-sungguh dan (اَلْحَذَرُ) berhati-hati.
Sidang Jamaah sekelian.
Dalam kehidupan sehari-harian setiap kita wajib bersungguh-sungguh melakukan apa jua suruhan Allah bukan dibuat secara sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga dan dan dalam masa yang sama kita mesti sentiasa  berhati-hati daripada melakukan sebarang dosa. Kita semua sedang dalam perjalanan menuju Allah . Atas perjalanan ini kita ada peraturan yang perlu dipatuhi bersungguh-sungguh, bukan sambil lewa apatah lagi hanya patuh pada yang berkenan di hati sahaja. Di atas jalan yang sama ini kita dinanti dengan segala jenis duri-duri maksiat dan dosa yang perlu kita berhati-hati apabila kita melaluinya.
Untuk membangunkan semula ummah yang sedang sakit ini, umat Islam memerlukan  kepada kapsul mujarrab gabungan antara(التَشَمُّرُ)  persediaan yang bersungguh-sungguh dan (اَلْحَذَرُ) berhati-hati. Semenjak merdeka 56 tahun dulu, kita berhempas pulas untuk menyelesaikan masalah urustadbir seperti amalan  rasuah, penyelewengan dan lain-lain. Belum pun selesai isu-isu urustadbir, kita menghadapi gerakan terancang mengubah rupa wajah kedudukan Islam di negara ini. Suara-suara lantang berucap atas landasan hak asasi manusia, hak kebebasan bersuara dan berkarya, cuba merubah keistimewaan Islam dalam negara ini. Kritikan lantang terhadap Institusi Islam dan fatwa, institusi Raja dan bahasa kebangsaan semakin menjadi-jadi dan diwarnai dengan karya-karya tulisan dan filem-filem pendek yang mencabar perundangan dan menguji kadar sensitiviti umat Islam. Sekali lagi sifat (التَشَمُّرُ) persediaan yang bersungguh-sungguh perlu untuk menyelesaikan masalah urus tadbir yang sudah mengakar lama di Malaysia ini dan sifat(اَلْحَذَرُ)  berhati-hati dan waspada dengan gerakan licik golongan-golongan liberalis dan pluralis yang tidak jemu berusaha merubah wajah Islam dalam negara. Mereka berhajat jika boleh Islam hanya sekadar penyeri majlis dalam acara-acara rasmi sahaja. Kalau boleh agama jangan diinstitusikan pentadbirannya dan akhirnya membawa kepada natijah urusan agama hanya urusan peribadi masing-masing tanpa perlu campurtangan pihak berkuasa agama. Akan bermaharajalelalah penagih-penagih tegar, peminat-peminat LGBT, peminat-peminat pertandingan ratu cantik, peminum arak  di khalayak ramai tanpa mampu lagi disekat.

Sidang Jamaah sekelian,
Setiap individu muslim di negeri ini khususnya, wajib bersungguh-sungguh (التَشَمُّرُ) mempelajari asas-asas agama Islam samada aqidah , ibadah dan akhlaq. Kerana dengan pengetahuan ini barulah muncul sifat (اَلْحَذَرُ) berhati-berhati terhadap fahaman-fahaman dan amalan-amalan yang menyeleweng dan menyimpang dari ajaran Islam. Lebih-lebih lagi pada hari ini terdapat bermacam- macam aqidah dan amalan yang bercanggah dengan amalan ahli sunnah wal jamaah antaranya ialah seperti ajaran syiah.
Ajaran ini telah diwartakan sebagai sesat oleh Kerajaan Negeri Perak pada 1 Mac 2012. Ajaran yang sangat merbahaya kepada aqidah dan keharmonian masyarakat ini perlu disekat secara (التَشَمُّرُ) secara bersungguh- sungguh. Jika dibiarkan sudah tentu ia akan mengocak ketenangan rukun kehidupan. Jadikanlah pergolakan berdarah antara mazhab yang berlaku di beberapa negara Islam sebagai iktibar seperti di  Pakistan dan Iraq.
Keghairahan sebahagian masyarakat mendekatkan diri dengan agama jika tidak menekuni terlebih dahulu ilmu aqidah dan syariat akan menghantarkannya ke jurang bahaya. Bertarekat pada asasnya dibenarkan di dalam syarak asalkan ia tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat. Mimbar pada hari ini menyeru para jemaah untuk (التَشَمُّرُ) menekuni ilmu asas aqidah dan syariat. Dalam masa yang sama hendaklah ada sifat (اَلْحَذَرُ)  berwaspada dengan tipu daya segelintir pengasas- pengasas tarekat yang salah. Menurut Dr Husni Hassan, ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Ketua Panel Kajian amalan tarekat, beliau menemui dapatan yang amat memeranjatkan dari seorang Syeikh tarikat di selatan Perak yang mengatakan bahawa Allah menjelma di Kaabah menyerupai seorang pemuda dan beliau mampu untuk berunding dengan malaikat maut dalam isu penangguhan saat kematian.

Sidang Jamaah sekelian.
Gerakan mempersatukan kembali umat Islam di negara ini memerlukan kesediaan semua pihak secara bersungguh-sungguh (التَشَمُّرُ) untuk kembali mempertautkan hubungan kasih sayang tanpa meletakkan berbagai-bagai syarat awal dan setiap pihak perlu menunjukkan keikhlasan tanpa ada niat-niat yang tersirat lain. Dalam masa yang sama kita mesti bersifat (اَلْحَذَرُ) terhadap usaha mana-mana pihak yang tidak senang melihat umat ini bersatu lantaran itu sangat kreatif melaga-lagakan sesama umat Islam. Budayakan  ibadah tasbih, tahmid dan takbir membasahi mulut-mulut kita sebagai ganti kepada cacian, makian, mengadu domba sesama umat Islam. Kata Imam Malik :
إِذَا رَأَيْتَ الرَّجُلَ يُدَافِعُ عَنِ الحَقِّ، فَيَشْتُمُ، وَيَسُبُّ، وَيَغْضَبُ
فَاعْلَمْ اَنَّهُ مَعْلُولُ النِّيَّةِ، ِلأَنَّ الحَقَّ لاَ يَحْتَاجُ اِلَى هَذَا
Apabila kamu melihat seorang lelaki mempertahankan kebenaran, maka ia mencaci, memaki memarahi dengan nada marah. Ketahuilah bahawa niatnya telah cacat kerana kebenaran tidak memerlukan semua ini.

Berkasih sayanglah sesama kita, saling memaafi kesalahan. Ini akan menggerunkan pihak lain kepada umat Islam. Tetapi apabila umat Islam bercakaran sesama sendiri, hilang kekuatan kita walaupun bilangan kita ramai sehingga terpaksa melayan tuntutan demi tuntutan mereka. Ingat lah pesan orang- orang tua:
 Berpada-pada memberi muka nanti kita sendiri hilang air muka; Berpada-berpada bertolak ansur, nanti kita ditolak beransur- ansur.

Sidang Jamaah sekelian.
Jangan lazat dengan pertelingkahan sesama kita kerana kerana tanpa disedari kita sedang dilingkari dengan berbagai cabaran dan ujian. Sebagai contoh ujian yang datangnya dengan gabungan dalam dan luar negara adalah seperti tekanan PBB terhadap Malaysia agar menerima deklarasi hak asasi manusia sejagat versi barat. Pada 20 Oktober 2013 tiba giliran Malaysia akan menjalani Universal Periodic Review (UPR). Tujuannya adalah untuk menyemak rekod dan pencapaian hak asasi manusia di Malaysia. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berpaksi perjuangan hak asasi manusia seperti Suaram telah menubuhkan gabungan NGO yang dikenali sebagai COMANGO melobi PBB sebanyak 62 cadangan. Tujuan mereka untuk menekan Malaysia tunduk terhadap nilai-nilai antarabangsa yang pada hakikatnya mengikut acuan fahaman sekular barat yang menjunjung isu-isu mencabar aqidah dan syariah di negara ini. Dan kebanyakkan syor-syor itu terkait dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serentak dengan usaha penyuburan fahaman kesaksamaan mutlak hatta dalam soal pertukaran agama serta undang-undang sekatan terhadap murtad dan pembelaan terhadap kebebasan seks.
بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ  وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ.


KHUTBAH KEDUA

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكَ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَذُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِيْنَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.
قاَلَ الله تَعاَلَى : وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.
Ya Allah kami ini lemah tapi dalam kami dalam keadaan lemah ini kami masih menderhakai Mu ya Allah.
Ya Allah kami ini hanya bergantung hidup dengan ihsan nikmat dan kasih kasih sayang Mu, tapi dengan nikmat Mu yang melimpah ruah ini kami gunakan pula untuk memaksiati Mu ya Allah.
Ya Allah Engkau Maha Tahu betapa berdosanya hamba-hambaMu ini namun Engkau masih melimpahi nikmat-nikmatMu kepada kami. Engkau masih memberi peluang demi peluang untuk kami menyesal dan bertaubat.
Ya Allah pada hari perhimpunan kami yang penuh dengan kasih sayang dan pengampunanMu, kami menadah tangan merintih pengampunanMu.
Ya Allah lihatlah ke wajah-wajah kami ini ya Allah. Sambutlah permohonan kami ini ya Allah. Kami tidak mampu menanggung peritnya NerakaMu walaupun kami tahu amalan kami yang sedikit ini tidak melayakkan kami ke syurgaMu namun kami masih berharap dengan limpahan redha Mu ya Allah agar mengampuni segala dosa dosa kami dan memasukkan kami ke syurga Mu.
Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami atas kecuaian kami menjaga agama kami sehingga sehari demi sehari ia cuba dipermain-mainkan. Ya Allah kembalikanlah sikap tegas dan berani kepada kami. 
Ya Allah kami memohon ampun kepadaMu atas kecuaian kami menjaga saudara-saudara Islam kami sehingga anak-anak mereka dimurtadkan semula. Apa yang kami ingin jawab di hadapanMu apabila anak-anak ini mengadu di hadapan Allah nanti. “Ya Allah apa yang telah mereka lakukan kepada kami”
Ya Allah kami memohon ampun kepadaMu atas kecuaian kami menjaga saudara-saudara Islam kami sehingga darah mereka mengalir setiap hari sedangkan kami bersenang lenang dan bersuka ria. Kami tidak sanggup lagi melihat dan mendengar tangisan dan raungan anak-anak mereka yang sebaya dengan anak-anak kami, isteri- isteri mereka memerlukan perlindungan sepertimana isteri-isteri kami. Ya Allah hentikanlah segala kezaliman ini dengan kekuatan Mu ya Allah.

Ya مُثَبِّتَ الْقُلُوْبِ tetapkan hati-hati saudara-saudara kami etnik Ronghinya dan Rakhine di Mynmar, saudara-saudara kami ahli sunnah wa al jamaah di Syria, saudara-saudara kami di Mesir dan Palestin serta di seluruh mukabumi ini agar tetap dalam iman tidak berganjak walaupun sedetik terhadap sebesar manapun ujian yang menimpa. Kalau mereka mati di sana dan kami mati di sini, himpunkanlah kami semuanya di dalam syurgaMu Ya Allah.

Ya Allah kami semua yang hadir ini memohon restuMu agar mengurniakan taufiq, inayah serta riayah kepada Raja kami DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibuddin Shah ibni al Marhum Sultan Yussuf Izuddin Shah Ghafarullah lah.
Ya Allah bantulah hamba-hambaMu ini membentengi agamaMu di negeri ni. Kurniakanlah kepada hamba-hambaMu ini penasihat-penasihat yang jujur lagi amanah yang meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan-kepentingan yang lain. Demi Allah, kami rakyat mengikat janji akan menjadi tulang belakang kepada hamba-hambaMu ini selama mana mereka mendepani kami dalam mempertahankan agama di bumi bertuah ini.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ اْلأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا وَعَنْ وَالِدِيْنَا وَعَنْ جَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ.
رَبَّنَا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ! إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَآءِ ذِىْ الْقُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْىِ. يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. وَاذْكُرُوا اللهَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْا عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ. وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ. وَاللهَ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

Disediakan oleh :

SF Ustaz Haji Zamri Bin Hashim,
Timbalan Mufti

Negeri Perak Darul Ridzuan

*AMARAN!!!
Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan
(7 Zulkaedah 1434H / 13 September 2013)

No comments: